Berita Utama

Perolehan awam paling terdedah kepada rasuah: Ambrin Buang

Sumber foto: NSTP/KHAIRUNISAH LOKMAN

KUALA LUMPUR, 25 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Perolehan awam adalah antara urusan kerajaan paling terdedah kepada rasuah dan merupakan suatu masalah kompleks, yang meliputi pelbagai bentuk aktiviti menyalahi peraturan, kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Beliau berkata, daripada penipuan bidaan pada peringkat pra penyerahan kontrak, hinggalah kepada pemalsuan invois dalam fasa pasca penyerahan kontrak, penipuan perolehan boleh dilakukan mereka yang merupakan orang dalam atau orang luar sesebuah organisasi.

“Risiko berlaku penipuan wujud dalam mana-mana jua organisasi. Ketika ini, kita nampaknya dihidangkan dengan kes penipuan dan amalan rasuah yang tidak henti-henti dalam sektor awam.

“Kebanyakan kes ini mempunyai kaitan dengan perolehan kerajaan di pelbagai peringkat, persekutuan, negeri dan tempatan serta badan berkanun, walaupun pelbagai langkah diambil untuk mencegahnya,” kata beliau dalam ucaptama pada Forum Memerangi Penipuan Perolehan Dalam Sektor Awam dan Swasta 2017 di Kuala Lumpur hari ini.

Teks ucaptama beliau dibacakan Pengarah Bahagian Korporat dan Perhubungan Antarabangsa Jabatan Audit Negara Roslan Abu Bakar.

Ambrin berkata, dalam beberapa minggu kebelakangan kini, orang ramai menyaksikan sesuatu yang mungkin mengejutkan mereka berkaitan perolehan kerajaan dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melaksanakan tugasnya dengan tekun.

Menurut beliau, tahun lepas, SPRM menyiasat lima kes melibatkan pegawai kanan kerajaan yang membuat tuntutan palsu dan melakukan penipuan dalam perolehan melibatkan RM20 juta.

“Ini disusuli kes pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (RM107 juta), Jabatan Air Negeri Sabah (RM153 juta) dan terbaru melibatkan seorang Ketua Setiausaha Kementerian Persekutuan,” katanya.

Ambrin berkata penipuan dalam perolehan awam mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit pada tahun kebelakangan ini dan sehubungan itu, kerajaan mengambil beberapa langkah untuk mengatasi kelemahan dalam pengurusan perolehan awam.

Ini, katanya, termasuk mengukuhkan peranan juruaudit dalam, pengauditan secara menyeluruh mengenai perolehan dalam jabatan serta agensi kerajaan dan menganjurkan latihan yang lebih bertumpu pada pengurusan perolehan.

“Bagi juruaudit dalam, saya berpendapat kini mereka perlu terlibat secara lebih aktif dalam menyemak semula urusan perolehan dan membuat laporan tentang sebarang penyelewengan daripada prosedur operasi standard serta sikap tidak cermat dalam membuat penilaian tentang sesuatu bidaan,” katanya. Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close