Berita UtamaUtama

Takiyuddin minta batalkan himpunan anti-RUU355

KOTA BHARU, 21 Rabiulakhir 1438H, Jumaat – Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membatalkan hasrat mereka untuk menganjurkan himpunan balas terhadap Himpunan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) yang akan berlangsung secara serentak pada 18 Febuari depan.

“Nasihat saya kepada NGO ini, batalkan hasrat mereka itu. Himpunan PAS ini lebih kepada penerangan dan untuk tunjukan sokongan terhadap usaha yang telah kita lakukan sebelum ini dan ia tidak memberi ancaman kepada sesiapa

“Kita bimbang NGO ini menggunakan platfrom tersebut untuk menghasut dan situasi itu menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan rakyat terhadap PAS berkaitan dengan isu ini,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBBSK) kepada pasukan Piala Presiden Kelantan 2016 di sini malam tadi.

Takiyuddin berkata, himpunan anjuran PAS bertujuan memberikan penerangan dan mesej secara jelas kepada rakyat termasuk bukan Islam tentang hasrat Kerjaan Kelantan membuat penambahbaikkan dalam enakmen kanun jenayah syariah.

Pada masa yang sama, Takiyuddin berkata, PAS berharap pindaan tersebut akan dibawa sekali lagi ke Parlimen untuk dibaca, dibahas pada Mac ini.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggelarkan diri mereka BEBAS itu berkata, mereka juga akan mengadakan perhimpunan yang dipanggil ‘Rakyat Malaysia tolak Usul Hadi’ serentak dengan tarikh Himpunan RUU 355 anjuran PAS.

Mereka menggesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk menyertai mereka, membantah usul yang dibawa Abdul Hadi yang didakwa sebagai ‘pintu’ kepada pelaksanaan hudud.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, PAS belum bersedia untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi menghadapi PRU 14 nanti.

Katanya, parti itu belum membuat sebarang ketetapan berhubung perkara tersebut dan ia akan dibincang secara lebih mendalam terlebih dahulu bagi melihat impak jika kerjasama itu dilaksanakan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close