Berita Utama

Hukuman Mahkamah Syariah ke atas wakil rakyat termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan: Pakar

SHAH ALAM, 21 Rabiulakhir 1438H, Jumaat – Apabila Khalid Abdul Samad didenda RM2,900 kerana mengajar tanpa tauliah, timbul persoalan sama ada hukuman diputuskan Mahkamah Rendah Syariah Klang boleh menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Shah Alam.

Prof Madya Shamrahayu Abdul Aziz berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak membezakan Mahkamah Sivil, Jenayah dan Syariah berhubung sabitan serta hukuman dijatuhkan ke atas wakil rakyat.

Katanya, Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut seseorang ahli Parlimen akan hilang kelayakan sebagai ahli Dewan apabila disabitkan sebuah mahkamah di dalam Persekutuan dan dihukum penjara minimum setahun atau denda tidak kurang RM2,000.

“Persoalannya, adakah ini termasuk sabitan oleh Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah ialah mahkamah negeri?

“Pada pandangan saya, walaupun Mahkamah Syariah ialah mahkamah negeri, namun ia adalah mahkamah dalam negeri-negeri yang ada dalam Persekutuan, bukan mahkamah di luar Persekutuan seperti di negara asing,” katanya kepada Bernama.

Ditanya sama ada kelayakan Khalid sebagai ahli Parlimen akan hilang secara automatik berikutan hukuman itu, felo utama di Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu berkata, kehilangan kelayakan hanya berkuat kuasa apabila tamat tempoh 14 hari dari tarikh beliau disabitkan dan dihukum.

Dalam kes Khalid, Shamrahayu berkata, memandangkan ahli Parlimen itu mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman tersebut, maka beliau masih seorang ahli Parlimen sehinggalah proses rayuan di peringkat terakhir.

“Sekiranya proses rayuan di mahkamah tertinggi ditolak, maka kehilangan kelayakan juga berkuat kuasa apabila tamat tempoh 14 hari dari tarikh rayuan beliau ditolak,” katanya.

Shamrahayu bagaimanapun berkata, sekiranya proses rayuan di mahkamah tertinggi ditolak, Khalid masih boleh ke peringkat seterusnya iaitu proses pengampunan.

“Permohonan untuk pengampunan hanya boleh dibuat setelah semua proses mahkamah selesai. Maksudnya semua rayuan sudah dibuat dan diputuskan, sehingga ke peringkat tertinggi, dalam kes Mahkamah Syariah ialah Mahkamah Rayuan Syariah.

“Pengurusan proses membincangkan permohonan pengampunan dilaksanakan melalui Lembaga Pengampunan. Sekiranya petisyen pengampunan ditolak, maka kelayakan (sebagai ahli Parlimen) hilang serta-merta,” katanya.

Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim ketika mengenakan denda itu turut memerintahkan Khalid, 60, yang juga pengarah komunikasi Amanah dipenjara 3 bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Beliau kemudiannya membayar denda itu.

Khalid didapati bersalah mengajar perkara tentang agama Islam tanpa tauliah di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Klang, antara 10 malam hingga 11.30 malam pada 16 Ogos 2011.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum 2 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close