Berita Utama

APMM tahan 3 kapal bekal minyak kepada nelayan asing

Jalan aktiviti tangkap ikan secara haram di perairan Malaysia

CHUKAI, 4 Muharram 1442H, Ahad – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan tiga kapal tangki minyak dipercayai menjadi ‘feeder’ kepada bot-bot nelayan asing Vietnam di Laut China Selatan, bersama rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM7.5 juta.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kesemua kapal berkenaan ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Langkawi yang berpangkalan di Maritim Negeri Pahang pada jarak 124 hingga 130 batu nautika dari Kuala Kemaman, Khamis lepas ketika melaksanakan Op Kuda Laut.

Katanya, turut ditahan 33 kru warga asing termasuk tekong berumur 19 hingga 56 tahun dan lapan daripada mereka merupakan warga Thailand manakala selebihnya warga Kemboja.

“APMM sebelum ini menerima maklumat terdapat kapal-kapal yang melalui perairan Terengganu bertindak sebagai kapal induk yang membekalkan minyak kepada bot-bot nelayan asing Vietnam yang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram dalam Zon Perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kapal pertama didaftarkan di Thailand dan dikendalikan 15 kru warga Thailand dan Kemboja.

Tambahnya, kapal kedua pula yang berdaftar di Mongolia dikendalikan oleh sembilan kru warga Thailand dan Kemboja serta membawa diesel dianggarkan berjumlah 500,000 liter.

“Turut dijumpai dan dirampas di atas kapal kedua ini ialah buku log atau dokumen transaksi jualan diesel kepada bot nelayan asing Vietnam.

“Kapal ketiga pula tidak mempunyai nama dan nombor pendaftaran tetapi dipercayai didaftarkan di Thailand. Ia dikendalikan oleh dua kru warga Thailand dan tujuh kru warga Kemboja yang membawa kira-kira 3,000 liter diesel. Turut dijumpai di kapal ini sejumlah mata wang Malaysia RM700 dan 9,500 Baht,” katanya.

Menurut Muhammad Suffi, kesemua kapal dan mereka yang ditahan telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar (MS0) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button