Berita UtamaDunia

Korban COVID-19 cecah sejuta

Angka kematian mungkin naik dua juta jika tiada tindakan kolektif dunia

PARIS, 10 Safar 1442H, Isnin – Jumlah kematian global akibat wabak COVID-19 yang merebak di 211 negara kini mencecah sejuta orang.

Pandemik yang mula dikesan di China kurang setahun lalu telah menjejaskan ekonomi global, meningkatkan ketegangan geopolitik serta menjejaskan kehidupan penduduk dunia.

Berdasarkan angka rasmi, pandemik itu setakat ini mengakibatkan 1,000,009 kematian daripada 33,018,877 kes jangkitan di seluruh dunia.

Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai negara tertinggi mencatatkan angka kematian dengan lebih 200,000 kes, diiikuti Brazil, India, Mexico dan Britain.

Di kala negara seluruh dunia berusaha mengekang penularan virus berkenaan, kumpulan saintis giat membangunkan vaksin.

Meskipun usaha-usaha itu mampu memperlahankan penularan, namun ia tetap menjejaskan ekonomi dunia.

Pada pertengahan bulan lalu, kebanyakan negara mengalami peningkatan kes wabak itu dan serentak itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran bahawa kes kematian boleh mencecah dua juta sekiranya tiada tindakan secara kolektif di peringkat global.

Pengarah kecemasan WHO, Michael Ryan menyifatkan angka kematian global yang mencecah sejuta itu adalah mengerikan.

“Adakah kita bersedia secara kolektif untuk melakukan apa yang diperlukan bagi mengelakkan jumlah itu?,” soalnya.

Virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan penyakit COVID-19 mula dikesan di bandar Wuhan, China yang menjadi pusat wabak.

Sehingga kini, para saintis belum dapat mengesahkan punca virus itu namun berpendapat ia berasal daripada kelawar dan berkemungkinan menjangkiti manusia menerusi mamalia lain. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button