Berita Utama

PRU15: UMNO kembali runding dengan PAS jika penuhi tiga syarat

Tiga syarat berkenaan telah dikemukakan kepada PAS

ALOR GAJAH, 5 Rabiulawal 1444H, Ahad – UMNO akan kembali ke meja rundingan dengan PAS berhubung kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika parti itu memenuhi tiga syarat ditetapkan, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata tiga syarat berkenaan telah dikemukakan kepada PAS ketika beliau bertemu dengan Presiden parti itu Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Ditanya apakah tiga syarat tersebut, Ahmad Zahid berkata:”Saya telah nyatakan itu ((kepada PAS), lebih baik saya tidak menyebutkannya”

Mereka (PAS) mengetahui syarat-syarat itu dan kalau mereka memenuhi syarat-syarat itu baharu rundingan boleh dilakukan dengan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup “Boot Camp” BNComms di sini hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata permuafakatan antara UMNO dan PAS untuk menghadapi PRU15 akan “kekal di takuk lama” jika tiada keputusan rasmi daripada PAS.

“Selagi PAS tidak membuat keputusan secara rasmi selagi itu kita tidak dapat merungkaikan apa juga isu dan perkara-perkara yang menjadi perbezaan antara kedua-dua parti,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button