Berita Utama

Rasuah adalah isu rakyat

unnamed

Setelah 49 tahun penubuhan agensi pencegahan rasuah serta melalui transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Badan Pencegahan Rasuah (BPR) pada 2009, ia telah menampakkan perubahan ketara dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini.

 Berpegang kepada prinsip adil, amanah dan tegas dalam melaksanakan tugas berlandaskan undang-undang, SPRM terus komited untuk membasmi jenayah rasuah di negara ini.

 Terbaharu,  Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menegaskan untuk memberi tumpuan khusus pencegahan rasuah dalam kalangan penjawat awam bagi membendung isu ketirisan hasil kerajaan serta memastikan keadilan sentiasa ditegakkan.

 Tumpuan telah diberikan kepada agensi penguatkuasaan, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan hasrat Program Tansformasi Kerajaan.

Kejayaan pelbagai operasi SPRM dalam tempoh dua bulan ini membuktikan  SPRM  tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah.

 Golongan yang tiada maruah diri inilah yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan awam tercemar dan dipandang serong.

 Selain itu, SPRM juga telah mempertingkatkan peranan pegawai integriti agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam dapat ditambahbaik. Ini akan mengurangkan ketirisan dan terus memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mencapai satu tahap yang lebih memberangsangkan.

 Penguat kuasa undang-undang seperti SPRM selalunya dilihat hanya berani menangkap ‘ikan bilis’ dan bukannya ‘jerung’. Disinilah peranan SPRM dalam menangkis persepsi umum ini. Masyarakat haruslah mengerti di sini bahawa, isu ikan bilis mahupun jerung hanyalah berkaitan persepsi.  

 SPRM pernah menyiasat banyak kes berprofil tinggi sebelum ini. Kebanyakan kes profil tinggi juga dibawa ke muka pengadilan dan hukuman dikenakan terhadap individu yang berprofil tinggi.

 Dalam pada itu, 49 tahun penubuhan BPR/SPRM, semenjak dari dahulu lagi usaha memerangi rasuah menjadi satu perkara yang sering dipolitikkan. Segala tindakan yang diambil oleh SPRM dalam membendung gejala rasuah dalam negara sering menjadi isu dan polemik politik.

 Inilah cabaran utama yang sering dihadapi oleh SPRM. Namun percayalah, cabaran seumpama ini mampu diatasi oleh SPRM apabila ia terus bertindak dengan adil, amanah dan tegas serta melaksanakan tugas berlandaskan undang-undang.

 Justeru, kini tugas dan peranan SPRM bukan hanya tertumpu kepada meneruskan usaha untuk menyiasat kes berprofil tinggi malah juga memfokuskan kepada kes-kes berkepentingan rakyat.

 Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa SPRM akan meminggirkan kes-kes yang kecil kerana kesalahan rasuah ini tidak bersempadan. Sama ada kecil atau besar nilai rasuah, ia tetap satu kesalahan. Dalam masa yang sama, perancangan yang teliti akan diteruskan bagi mempertingkatkan keupayaan pegawai-pegawai SPRM selain dapat menangkis segala persepsi buruk.

 Di samping itu, usaha SPRM menggiatkan lagi kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan yang lain adalah usaha memerangi rasuah dapat dijalankan secara holistik sehingga membuahkan hasil yang berkesan.

 Tindakan SPRM dalam usaha memerangi rasuah secara punitif dan preventif akan dilihat dapat memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam. Tetapi perkara ini agak mustahil sekiranya rakyat tidak bekerjasama dengan SPRM. Seperti yang telah dinyatakan  Datuk Dzulkifli Ahmad, “SPRM perlu dirasai bersama. SPRM mesti mesra dengan rakyat tetapi perlu juga digeruni perasuah”.

 Di peringkat negeri, SPRM Negeri Sembilan sentiasa peka dan memberi bekerjasama sebagai satu pasukan dengan matlamat dan hasrat yang sama iaitu melihat negara ini bebas rasuah.

 Justeru rakyat perlu sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada SPRM dalam usaha memerangi rasuah. Ini kerana isu rasuah adalah isu rakyat dan SPRM juga harus dilihat bersama rakyat dan sebagai pembela rakyat.

 Datuk Rohaizad Yaakob
Pengarah SPRM Negeri Sembilan

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close