Pendapat

Perjuangan Kedah mempertahankan tanah air

Seluruh masyarakat Malaysia tahu bahawa Empayar Kesultanan Melayu Islam Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Tapi tahukah kita bahawa Kesultanan Melayu Islam Kedah masih utuh berdiri dan hanya mengalami ancaman penjajahan Thai lebih 200 tahun selepas kejatuhan Melaka?

BIBIT PERTELINGKAHAN KEDAH – THAI

Selepas kemangkatan Sultan Kedah ke-20, Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778 – 1797), takhta negeri dipangku oleh adinda baginda, Tunku Dhiauddin memandangkan anakanda Sultan Abdullah iaitu Tunku Pangeran masih kecil.

Menjelang tahun 1803, takhta negeri Kedah diserahkan kepada waris yang sebenar, Tunku Pangeran yang kemudian digelar Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II yang bersemayam di Kota Setar.

Tunku Dhiauddin diberi kuasa mentadbir wilayah Perlis sehingga kemangkatannya pada tahun 1813.

Kemangkatan Tunku Dhiauddin menyebabkan Raja Muda Kedah pada masa itu, Tunku Yaakub memohon untuk diberikan jawatan sebagai Pentadbir Perlis tetapi ditolak oleh Sultan. Kuasa pentadbiran wilayah Perlis diberikan kepada Tunku Sulaiman, adik beradik kepada Tunku Yaakub dan Sultan sendiri.

Tunku Yaakub yang juga dikenali sebagai Tunku Embun dan adik kepada Sultan Ahmad Tajuddin II berasa amat kecewa lalu berpaling tadah dengan menyebar fitnah kepada pihak Thai dengan mengatakan abangnya telah tunduk kepada Inggeris.

Bibit permusuhan Kedah – Thai mula timbul pada tahun 1821 apabila Kedah enggan menghantar ufti bunga emas kepada kerajaan Thai, simbolik kepada penolakan ketundukan kepada kuasa Thai serta enggan membantu Thai dalam peperangan dengan Burma.

Akibatnya Gebenor Ligor, Chauphraya Nakhon Si Tammarat diarahkan oleh Raja Thai untuk menyerang Kedah.

Thai berjaya menguasai Kedah dan sultan terpaksa berundur ke Pulau Pinang dan seterusnya ke Melaka.

Baginda dan pengikut-pengikut baginda telah membuat serangan ke atas orang-orang Thai di negeri Kedah tetapi telah dihalang oleh pihak Inggeris.

Selepas berjaya menawan Kedah, Siam bukan sahaja menolak permohonan Tunku Yaakub untuk menjadi Sultan Kedah, malah menuduh Tunku Yaakub dan anaknya Tunku Sulaiman (digelar Tunku Anum) sebagai pengkianat.

Tengku Yaakub dan Tengku Sulaiman dihukum bunuh oleh Siam di Kota Setar, dan Kedah ditadbir oleh Siam melalui Ligor.

Inggeris ketika itu mementingkan perhubungan baik dengan kerajaan Thai di Bangkok.

Keadaan bertambah buruk apabila Perjanjian Burney 1826 antara Inggeris dan Thai mengiktiraf Kedah sebagai jajahan takluk Thai.

Selain itu, Perjanjian Burney turut mengiktiraf Thai sebagai penakluk Perlis, Kelantan dan Terengganu. Sebagai timbal balik, Inggeris diberi penguasaan sepenuhnya ke atas Pulau Pinang.

Tiada raja-raja Melayu yang dipanggil dalam perjanjian ini. Akibatnya Sultan Ahmad Tajuddin II semakin berusaha untuk mendapatkan takhta kerajaan baginda.

TUNKU KUDIN MENGETUAI SERANGAN PERTAMA

Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II yang masih dalam perlindungan di Melaka berusaha mendapatkan kembali kuasa pemerintahan di negeri Kedah dari Thai.

Baginda mengutus sepucuk surat kepada Inggeris melalui James William Salmond, Pembantu Residen Pulau Pinang untuk mendapatkan bantuan.

“… Apa boleh beta katakan kerana Kompeni Inggeris ada besar kuasanya. Akan fasal negeri Kedah itu negeri beta keturunan mari daripada datuk nenek beta. Maka orang Thai tipu ambil tiadalah boleh beta dapat kuasa, beta hendak ambil balik juga negeri beta ini…kerana pada hati orang segala bangsa pun tatkala seseorang berbuat malu mengambil artanya pasti ia mahu mengambil artanya itu, jangankan suatu kebun sekalipun…”

Namun Inggeris tidak mengendahkan permohonan baginda atas faktor terikat dengan Perjanjian Burney.

Dalam tempoh itu, Kedah ditadbir oleh anak Gabenor Ligor, Phra Pakdi (Saeng) dilantik sebagai Gabenor Kedah dan seorang lagi anaknya Nai Nut sebagai Naib Gabenor.

Serangan pertama untuk membebaskan Kedah dari cengkaman Thai diketuai oleh Tunku Kudin. Tunku Kudin atau nama sebenarnya Syed Zainal Abidin ialah sepupu kepada Sultan Ahmad Tajuddin II.

Pada tahun 1828, Tunku Kudin mengetuai angkatan Kedah menyerang pertahanan Laut Thai di Kota Kuala Kedah tetapi gagal.

Serangan berikutnya yang dilancarkan bermula pada Januari 1830 dengan kekuatan 3,000 orang tentera berakhir dengan kejayaan menawawan Kota Kuala Kedah pada 24 April 1831.

Kekalahan Thai menyebabkan Gabenor Ligor menghantar 7,500 tentera tambahan dan berusaha merampas semula Kota Kuala Kedah.

Tunku Kudin dan sebahagian besar tentera Kedah gugur dalam peperangan setelah berjaya menawan Kota Kuala Kedah selama 5 bulan.

SERANGAN KEDUA OLEH TUNKU MUHAMMAD SAAD DAN BARISAN ULAMA NUSANTARA

Siri peperangan kedua ke atas Thai yang menjajah Kedah dilakukan antara tahun 1838 hingga 1839.

Dalam peperangan ini, tentera Kedah diketuai oleh Tunku Muhammad Saad.

Seruan jihad ke atas tentera kuffar Thai ini bukan sahaja sampai kepada orang-orang Islam di Kedah dan Pulau Pinang, malah di segenap nusantara dan Mekah.

Syeikh Wan Abdul Qadir, Mufti Kedah pada masa itu telah mengutuskan surat kepada Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani di Mekah bagi menyampaikan maklumat bahawa Kedah dan Pattani akan berperang dengan Thai.

Oleh itu, beberapa orang ulama nusantara di Mekah termasuk Syeikh Samad bergegas pulang untuk membantu angkatan perang Kedah-Patani.

Di Malaysia pada masa kini, Syeikh Abdul Samad lebih dikenali sebagai pengarang kitab Sairus Salikin dan Hidayatus Salikin.

Namun, dalam beberapa keadaan, musuh mudah menyelinap melalui pengkhianat-pengkhianat. Beberapa surat-surat sulit dari para ulama dapat dipintas oleh musuh.

Sebagai contoh, surat Syeikh Abdul Samad kepada Sultan Mataram telah jatuh ke tangan Belanda. Akibat pengkhianatan juga, Syeikh Samad Al Falimbani, Syeikh Arsyad Al Banjari dan Syeikh Wahab Bugis pernah ditangkap oleh Belanda sewaktu mereka bertiga pergi ke Betawi. Namun disebabkan kecerdikan mereka, Belanda terpaksa melepaskan mereka bertiga.

Bagi menangani masalah ini, salah seorang perancang yang genius, iaitu Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani telah mencipta kod-kod rahsia sebagai tulisan dalam persuratan. Pada zaman itu, hanya sekitar 36 orang sahaja yang memahami tulisan ini.

Antaranya Menteri Besar Kelantan iaitu Nik Mahmud. Maka surat-surat sulit ditulis menggunakan tulisan ini. Sekiranya ia jatuh ke tangan musuh, maka mereka tidak akan memahami sebarang kandungan yang terdapat pada surat itu.

Antara tokoh-tokoh lain yang turut serta dalam siri peperangan ini termasuklah Dato’ Pekerma Wan Muhammad Ali dari Langkawi,  Tunku Muhammad Akib dan Tunku Muhammad Taib dari Setul, Tunku Muhammad Taib dari Setul, Syed Hasan dan Wan Muhammad Arshad dari Perlis.

Tentera Islam berjaya menawan semula Kota Kuala Kedah daripada Thai. Kemenangan Kedah ke atas Thai di Kota Kuala Kedah dinukilkan dalam sebuah panji (kini di Muzium Negeri Kedah):

“Kau bulan purnama, sumber segala petunjuk, Telah datang kegembiraan bagi kami. Wahai orang-orang Islam, kita telah meraih kegembiraan. Inilah habuan besar, sesiapa dapat meraihnya bermakna ia telah mendapatkan segala keuntungan, kepimpinan dan segala pemberian. Maka kerana itu selesailah kemenangan yang bertarikh 1246 Hijrah. Kedah berjaya dengan kemenangan dan Islam.”

Seterusnya tentera Kedah berjaya menumpaskan kubu pentadbiran Thai di Alor Ganu sebelum mara ke utara dan berjaya menduduki Hatyai yang pada masa itu dalam wilayah Singgora.

Ketika bersiap-siaga untuk menyerang Boyang (kini Songkhla), ibu kota wilayah Singgora, tentera Islam kedah dikepung oleh angkatan perang Thai.

Serangan dari setiap penjuru menyebabkan ramai tentera Islam Kedah syahid termasuklah Sheikh Abdul Samad al-Falimbani. Tentera Islam yang berbaki terpaksa berundur ke Pulau Pinang.

TAKTIK LICIK TUNKU ANUM MEMBEBASKAN KEDAH

Memandangkan sudah ramai pendekar Kedah yang tewas di medan juang sedangkan Thai tidak juga dapat dikalahkan, Tunku Anum Bin Tunku Abdul Rahman mula berikhtiar mencari jalan lain untuk membebaskan Kedah.

Baginya Kedah tidak boleh dimerdekakan melalui kekerasan tetapi melalui diplomasi dan helah siyasah.

Lalu melalui muslihat politik yang bijak beliau telah pergi ke Ligor menemui Phya Sina Nonchit berpura-pura kononnya belot terhadap Kedah. Sedangkan sebelum itu beliau telah pun menyiapkan pahlawan-pahlawan Kedah untuk terus-menerus menyerang kedudukan Thai.

Latihan perang gerila telah diadakan di Gua Kerbau di Bukit Kepelu, Kodiang.

Di Ligor, Tunku Anum telah mendapat kepercayaan pemerintah Thai dan beliau telah melakukan apa sahaja yang boleh untuk membantu Kedah secara sulit.

Akibat daripada serangan Kedah yang berterusan menyebabkan benteng Thai di Alor Ganu semakin sulit.

Oleh itu Raja Ligor berkali-kali memintanya agar menjadi wakil Thai di Kedah. Namun beliau menolak kononnya bimbang nanti pahlawan Kedah membunuhnya kerana belot. Sedangkan sebenarnya beliau tidak mahu menjadi boneka Thai di Kedah.

Akhirnya akibat kedudukan Thai yang semakin genting, pemerintah Thai di Ligor telah mengutuskan surat rasmi kepada Tunku Anum memaklumkan bahawa Kedah bebas dan Kedah hanya diminta menghantar ufti bunga emas.

Dengan pembebasan tersebut, Tunku Anum dan orang-orangnya pulang ke Kedah setelah bertahun-tahun lamanya tinggal di Ligor.

Setelah pulang ke Kedah, kedudukannya sangat kuat dan sekiranya beliau mahu menjadi Sultan Kedah maka beliau memang boleh melakukannya.

Akan tetapi beliau telah mempelawa Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah yang sudah 18 tahun tinggal di Melaka agar pulang ke Kedah.

SULTAN MELAYU KEDAH KEMBALI BERTAKHTA

Pada tahun 1842 pemerintah Thai melalui Raja Nangklao atau Rama III di Bangkok secara rasmi terpaksa menyerahkan kedaulatan Kedah kepada Sultan Kedah atas desakan pihak Inggeris, khususnya Gabenor Bonham.

Mengenang jasa Tunku Anum terhadap negeri Kedah maka Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah telah menghadiahkan kepadanya wilayah Kubang Pasu dengan 24 mukim yang terdapat di dalamnya.

Sebagai Raja Kubang Pasu beliau telah menjadikan Pulau Pisang sebagai pusat pentadbirannya.

Sultan Ahmad Tajuddin turut mengisytiharkan Perlis sebagai wilayah baru dan melantik Syed Husain Jamalullail sebagai pemerintah yang pertama.

Syed Husain Jamalullail merupakan keturunan Arab yang turut berperanan bersama-sama kelompok Arab yang tinggal di wilayah Perlis dalam membantu pengembalian takhta negeri Kedah daripada Thai.

Wilayah Setul pula diisytiharkan sebagai wilayah baru dan melantik Tunku Bisnu sebagai pemerintah. Tunku Bisnu menjadikan Bandar Mambang Segara sebagai pusat pemerintahan.

Senarai rujukan:

  1. Wan Shamsudin Mohd Yusof, Kedah Dalam Warisan Sejarah dan Budaya Nusantara
  2. Ahmad Ismail dan Yazid Mat, Perlis Indera Kayangan Sejarah Pembentukan Negeri Berdaulat

Disusun oleh:

Fakhruddin Afif Fauzi

Ketua Penerangan Isma Cawangan Alor Setar

Sultan Ahmad Tajuddin II dan Bunga Emas

fr g

Peta negeri dan wilayah naungan Kedah.

r

Raja Rama I

e

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close