Berita Utama

Masa untuk gencatan politik, Kabinet baharu perlu tumpu perangi COVID-19

Setiap kementerian disaran buat perancangan jangka pendek, panjang untuk capai sasaran

BANGI, 20 Muharram 1443H, Ahad – ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ perlu membuktikan pelantikan mereka berasaskan kecekapan, komitmen serta kesungguhan tinggi dengan mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

Justeru, bagi memastikan Kabinet baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menekankan budaya kerja berprestasi tinggi, setiap kementerian disaran membuat perancangan jangka pendek dan panjang serta mencapai sasaran ditetapkan.

Bahkan usaha terancang dan berterusan perlu menjadi landasan utama agar Indeks Prestasi Utama (KPI) dapat direalisasikan, kata Profesor Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Prof Datuk Dr Ismail Sualman.

Beliau mengingatkan, sekarang bukan masa untuk terus berpolitik, sebaliknya waktu untuk melakukan gencatan berpolitik agar masa dan tumpuan lebih kepada matlamat untuk memerangi COVID-19.

Katanya, episod pertukaran pemerintahan dan Perdana Menteri sepatutnya sudah sampai ke noktah apabila Perdana Menteri kesembilan bersama barisan Kabinet diisytiharkan.

“Banyak pihak lega dan mengharap pelantikan ini dapat mengakhiri kemelut politik dengan segera.

“Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik tidak berkesudahan ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Rakyat semestinya menyanjung tinggi penghargaan dan terima kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab baginda selaku Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang,” katanya.

Menulis di Berita Harian hari ini, beliau menegaskan, syarat diletakkan Perdana Menteri supaya membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama itu, tidak boleh dipandang ringan.

Tegasnya, semua cabaran ini wajar diberi perhatian oleh menteri dan timbalan menteri yang mengangkat sumpah esok yang pasti akan menjadi petunjuk kepada sejauh mana pencapaian dalam tempoh 100 hari itu dapat dibuktikan.

“Hakikatnya, ia bukan hanya syarat ditetapkan Perdana Menteri, bahkan bakal diperhatikan segenap lapisan rakyat kerana kepentingan dan kebajikan mereka turut berkait dengan pencapaian setiap menteri dan timbalan menteri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button