Berita UtamaDunia

Penduduk Perancis kini bebas tak perlu pakai pelitup muka

Tiba masa kembali kepada kehidupan normal: Perdana Menteri

PARIS, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Penduduk Perancis kini bebas untuk tidak memakai pelitup muka di luar rumah mulai Ahad ini, lapor Agensi Anadolu.

Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka itu masih perlu sekiranya mereka berada di tempat sesak.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Jean Castex semalam selepas kerajaan memutuskan untuk melonggarkan sekatan kesihatan.

“Kami hidup di saat genting, sekarang tiba masanya untuk kembali kepada kehidupan normal.

“Sekurang-kurangnya 21.4 peratus penduduk Perancis diberi vaksin sepenuhnya.

“Oleh itu, kita wajar menyesuaikan langkah-langkah dan elemen tertentu sambil tetap menjaga kewaspadaan selama beberapa minggu akan datang,” katanya.

Tahap ketiga perintah berkurung di negara itu berkuat kuasa minggu lalu hingga 30 Jun ini.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Oliver Veran berkata, Perancis telah menghadapi situasi yang berlaku di United Kingdom (UK) beberapa minggu lalu.

Kira-kira 50 hingga 150 jangkitan baharu dikesan setiap hari di negara itu dan hampir 2 peratus hingga 4 peratus daripada hasil ujian menunjukkan terdapatnya varian Delta, yang pertama kali dikesan di India.

Selain itu, Castex berkata, negara itu menyasarkan untuk memberi vaksin sepenuhnya kepada 35 juta penduduknya selain suntikan vaksin pertama kepada 40 juta orang pada bulan hadapan.

Perancis juga telah memulakan vaksinasi untuk kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun bagi mengelakkan mereka menjadi pembawa asimtomatik dari varian yang cepat berjangkit. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button