Berita Utama

Kerana ego politik Melayu terus berpecah

Sejarah PRU14 mungkin berulang, parti akan tawar-menawar

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 16 Rabiulakhir 1444H, Jumaat  Perpecahan yang berlaku di dalam politik Melayu mungkin menyebabkan tiada mana-mana parti yang kuat untuk membentuk kerajaan stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Lebih mendukacitakan apabila hubungan pemimpin-pemimpin utama di dalam parti Melayu sendiri tidak baik sehingga akhirnya mereka memutuskan membawa haluan masing-masing dalam menghadapi pilihan raya.

Maka, tidak mustahil negara akan mengulangi sejarah selepas PRU14 lalu apabila parti berpecah mula mencari antara satu sama lain dan tawar-menawar demi menarik sokongan, kata bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

“Pada masa ini semua orang tak boleh berbaik dengan semua orang. Tun Mahathir tak boleh berbaik dengan Tan Sri Muhyiddin, Muhyiddin tak berbaik dengan Datuk Seri Zahid, Zahid dengan PAS dan Datuk Seri Anwar dengan Tun Mahathir.

“Jadi saya tak faham politik sebegini adakah kerana kita nak menjaga ego peribadi atau nak menjayakan pembinaan bangsa dan negara, dan ini tidak terhad kepada UMNO.

“Semua orang nampaknya mempunyai ego masing-masing dan akhirnya kita masuk PRU dalam masing-masing bawa hal sendiri,” katanya dalam temubual Kerusi Panas di TV Pertiwi, malam tadi.

Menurut Annuar, beliau percaya kekalahan teruk pada PRU14 adalah disebabkan daripada perpecahan dalam politik Melayu di negara ini.

Sebagai pejuang politik, beliau mengimpikan untuk melihat parti-parti Melayu bergabung dan orang Melayu bersatu sebelum PRU15.

“Sebab dalam negara ini terasnya adalah orang Melayu dan umat Islam yang bersatu dan kemudiannya orang Melayu dan umat Islam yang menerima kehadiran kaum dan agama lain.

“Politik bukan sahaja berprinsipkan pada ta’awun, muafakat dan kerjasama, tetapi juga berasaskan ta’ayush dan ia dianjurkan oleh Rasulullah sebaik-baik contoh bagaimana kita nak menguruskan manusia,” katanya.

Pautan Kerusi Panas;

https://fb.watch/gJwdnxSQJn/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button