Agama

Sebarkan Islam dengan iman dan ilmu, bukan hawa nafsu

ramadan

Alhamdulillah, suasana hari ini khususnya di Malaysia menyaksikan usaha untuk membangunkan Islam berjalan secara giat dan gencar. Pelbagai pihak yang tampil dan ingin terlibat sama dalam projek ini, iaitu projek membangunkan nilai-nilai Islam dalam seluruh sudut hidup umat samada individu, keluarga atau masyarakat. Ianya tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Bagi seorang pejuang Islam, suasana inilah yang diidam-idamkan iaitu dengan banyaknya rancangan televisyen bertemakan Islam, stesyen radio yang tidak henti melaungkan bacaan ayat suci Al-Quran, forum-forum dan seminar kearah mendidik cara hidup Islam, artis-artis yang semakin ramai mempromosi gaya pemakaian Islam dan banyak lagi.

Suasana ini pada hakikatnya adalah suatu hasil daripada kesedaran Islam yang semakin tinggi dalam masyarakat itu sendiri. Serta akibat melihat keadaan dunia yang semakin gelap, musnah dan rosak akibat hawa nafsu manusia itu sendiri. Lalu dilihat disana terbitnya fajar cahaya Islam yang mampu memberi sinar baru kepada kehidupan ini. Maka diatas cahaya tersebut, berbondong-bondong manusia hadir demi mengecapi cahaya sinar yang sudah sekelian lama hilang.

Saya secara peribadi amat gembira melihat kepada suasana dan keadaan yang semakin baik ini. Walaupun ianya masih jauh daripada zaman kegemilangan Islam namun ianya satu langkah kehadapan berbanding keadaan umat Islam 30-40 tahun yang lalu. Kini arak dan maksiat dilihat semakin hina dimata masyarakat serta amal ibadat dilihat semakin menjadi budaya yang subur dalam jiwa masyarakat.

Namun disebalik usaha murni kita untuk semakin menyebarkan cahaya Islam ini, adakalanya kita tersilap langkah lalu terperangkap dalam permainan syaitan yang menghiaskan sesuatu perbuatan maksiat sebagai hiasan “islamik”. Al-Quran telah lama menjelaskan akan strategi mereka ini

وَزَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ أَعۡمَـٰلَهُمۡ فَصَدَّهُمۡ عَنِ ٱلسَّبِيلِ فَهُمۡ لَا يَهۡتَدُونَ

Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk; (An Naml: 24)

Kita ingin bangunkan Islam namun tanpa sedar kita dengan jelas telah melanggar batas-batas agama itu sendiri. Kita ingin memandu manusia kepada sinar cahaya Islam, namun hakikatnya kita sedang membawa mereka kearah kegelapan yang lebih gelap daripada sebelum ini.

Keadaan ini sebenarnya berpunca apabila kita tidak ada ilmu berkenaan Islam itu sendiri. Kita rasa cukup dengan keinginan kita untuk membawa Islam sedangkan kita tidak pernah tahu akan batas-batas syarak, tidak memahami isi kandungan quran dan sunnah dengan betul lalu yang kita rujuk untuk bangunkan Islam adalah hawa nafsu kita atau musuh yang bertopengkan Islam namun bermotif meruntuhkan Islam itu sendiri.

Maka wujudlah budaya “fashion islamik” yang secara jelas pemakaian tersebut tidak menutup aurat dengan sempurna. “Rancangan islamik” namun dipenuhi dengan berpegang tangan sesama muhrim juga budaya pergaulan lelaki perempuan tanpa batasan. “Politik Islamik” yang langsung tidak membawa inspirasi Islam dalam memenuhi maqasid syarak itu sendiri. Serta pelbagai perkara lagi yang menggunakan istilah-istilah Islam tetapi tidak membawa ruh Islam itu sendiri.

Sedih melihat keadaan ini, usaha yang bukan sekadar tidak menyumbang kepada membangunnya Islam itu sendiri bahkan ianya menjadi punca kepada masyarakat semakin keliru akan hakikat deen ini. Ubat yang kita sangka akan menyembuhkan namun hakikatnya ia adalah racun yang terus melumpuhkan jiwa umat ini.

Tanpa saya pernah nafikan bahawa usaha membangunkan Islam adalah tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam, bukan sekadar asatizah atau alim ulama sahaja. Namun kehendak tersebut hendaklah dipandu dengan sebenar-benarnya. Islam itu bukan berdiri atas “rasa-rasa” sahaja, tetapi ia berdiri atas petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah yang telah menggariskan secara jelas seluruh urusan kita, dunia juga akhirat. Niat yang baik tetapi dengan cara yang salah adalah suatu perkara yang ditolak oleh Islam itu sendiri.

Membangunkan Islam itu hendaklah dengan iman dan ilmu, bukan dengan hawa nafsu dan akal semata-mata. Biarlah tindakan kita yang terhasil daripada niat yang mulia ini benar-benar menyumbang kearah bedirinya tamadun Islam itu sendiri yang kelak akan menjadi rahmat serta penaung kepada seluruh umat manusia suatu hari nanti.

وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ ڪَآفَّةً۬‌ۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٍ۬ مِّنۡہُمۡ طَآٮِٕفَةٌ۬ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِى ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡہِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ (١٢٢

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). (At-Taubah: 122)

 

Ust Muhammad Firdaus Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close