Berita Utama

Pergolakan politik negara satu rancangan rapi pihak tertentu

Muafakat Nasional ibarat retak menanti belah, UMNO diingat jangan alpa

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 9 Jamadilawal 1443H, Selasa – Menganalisis senario politik sejak kebelakangan ini memerlukan kita untuk berfikir di luar kotak.

Meskipun norma baharu politik negara dilihat tidak menentu namun, hakikatnya ia sedang dicatur oleh pihak tertentu dengan begitu rapi sekali, kata penganalisis politik, Shahbudin Embun.

Situasi itu dapat dilihat apabila Muafakat Nasional (MN) – kerjasama antara UMNO dan PAS – yang hampir berjaya, kini seolah-olah dikuburkan. 

“Nasib MN diibaratkan retak menunggu belah sahaja. UMNO pula kelihatannya terdapat dua kumpulan yang sentiasa berbeza pandangan. 

“Keadaan dan nasib UMNO akan bertambah tenat andainya ada perebutan jawatan penting sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya kepada Ismaweb.net.

Mengulas mengenai ketidaktentuan politik, Shahbudin turut mengimbas pergolakan antara blok pembangkang yang semakin kini jelas.

Katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mula menyerang individu dalam parti DAP dan juga mendapat serangan balas daripada individu berkenaan. 

Terdapat juga pemimpin DAP secara terang-terangan menyerang ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dr Mahathir pula memuji Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini kerana mengotakan janjinya tidak membantu Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan di mahkamah. 

“Dalam masa yang sama Lim Kit Siang senada dengan Dr Mahathir yang berulang kali menyatakan bahawa Najib Razak bakal kembali sebagai PM.

“Semua kejadian yang berlaku tersebut telah dirancang akibat kekalahan demi kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di mana kemuncaknya di Tanjung Piai dan terakhir sekali kemenangan cemerlang BN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru baru ini,” dakwanya.

Shahbudin yang juga Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM) juga mendakwa, peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh dan Langkah Sheraton adalah sebahagian daripada kerangka perancangan ‘grand design’ mereka. 

“Persoalannya apakah langkah Dr Mahathir seterusnya selepas ini. Setelah MN berjaya dipecahkan dan gabungan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan bibit-bibit perpecahan. 

“Adakah blok Dr Mahathir akan memperkukuhkan Perikatan Nasional menuju PRU15 setelah blok-blok politik lain tiada kesepakatan?,” soalnya.

Atas dasar itu, beliau menasihati pimpinan tertinggi UMNO yang merupakan parti terbesar orang Melayu, agar tidak mudah alpa. 

“Jangan menari ikut rentak musuh durjana yang ingin melihat perpecahan dalaman. 

“Ingatan kepada pemimpin yang berada di puncak kuasa bahawa anda berada di situ kerana UMNO. Tanpa parti siapalah anda. 

“Kenali musuh anda. Jangan termakan umpan musuh yang sedang menggunting dalam lipatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button