Berita UtamaPendapatUtama

Lima tahun runding TPPA, siapa catur siapa?

tppa buku mtem
SEJAK Oktober 2010, sudah hampir lima tahun kerajaan Malaysia menyertai rundingan TPPA. Namun, apa yang amat dikesalkan ialah hampir tiada langsung maklumat yang dikongsikan kepada rakyat mengenainya.

Sedangkan untuk pelaksanaan sistem GST yang ‘hanya’ 6% dan memberi impak ‘kecil’ kepada rakyat itu pun telah dirangka pelbagai jelajah penerangan, kempen, iklan tv dan radio.

Mengapa pendekatan serupa tidak pula diterapkan kepada proses rundingan yang bakal membentuk perjanjian dagangan terbesar di dunia ini?

BACA: Obama datang Malaysia untuk tandatangan TPPA?

Tanpa informasi yang berkredibiliti daripada kerajaan, rakyat hanya dapat meneka apa yang sedang dicaturkan di meja rundingan dengan segala macam risiko terarah ke atas pundak mereka.

Beberapa dokumen yang terbocor dan kajian ke atas perjanjian dagangan bebas negara lain sedia ada memberi serba sedikit gambaran apa yang bakal dilalui sendiri nanti.

Perkembangan berkaitan yang berlaku di negara terlibat turut dipantau rapat khususnya Amerika Syarikat (AS), yang kelihatan amat dominan dan agresif untuk menyelesaikan proses rundingan ini secepat mungkin.

Dan apa yang dapat dikumpul dan diperhatikan sehingga kini nyata amat merisaukan lagi menggusarkan.

BACA: VIDEO: Bersatu tolak TPPA!

Perjanjian ini bukan sahaja dinanti-nantikan oleh para kapitalis dan firma gergasi AS, malah telah diunjur selari dengan strategi perluasan kuasa ketenteraan AS di rantau ini.

Ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Pertahanan AS, Ash Carter, yang menyatakan akses dagangan di rantau Asia Pasifik akan membantu penerusan hegemoni ketenteraan AS dan menyumbang kepada ‘kestabilan’ serantau.

Bagi Carter, pelaksanaan TPP adalah “sama penting dengan sebuah kapal induk pengangkut pesawat” (simbol dominasi ketenteraan AS).

Umum mengetahui bahawa TPPA menepati dasar luar AS yang menumpukan kepada usaha membendung pelebaran pengaruh China di Asia Tenggara daripada sudut ekonomi dan juga ketenteraan, dan Malaysia tidak terkecuali.

BACA: Kerana TPPA, Melayu akan hilang kedaulatan di bumi sendiri

Sebaik sahaja Malaysia diumumkan menyertai TPPA, Dewan Perniagaan AS (US Chamber of Commerce) yang merupakan antara kumpulan pendesak kerajaan terbesar di sana dan mewakili sekitar tiga juta syarikat, terus tampil mengalu-alukan keputusan itu.

Naib Presiden Asianya, Tami Overby, langsung tidak menyembunyikan sasaran utama mereka apabila menyatakan kemasukan Malaysia bakal “membuka pelbagai sektor yang selama ini ditutup kepada firma AS, contohnya perkhidmatan kewangan dan perolehan kerajaan (procurement)”.

Usaha melobi ini tidak terhenti sekadar itu apabila banyak firma bertindak memberi rasuah kepada ahli politik di sana supaya mengundi menyokong sebarang usul berkaitan TPPA di peringkat legislatif.

Dari Januari hingga Mac tahun ini sahaja sebanyak $1.15 juta telah ‘didermakan’ kepada para Senator AS oleh syarikat yang menganggotai Gabungan Perniagaan AS Untuk TPP (US Business Coalition for TPP).

BACA: TPPA berbahaya kepada negara, rakyat dan Islam

Menurut laporan akhbar The Guardian, antara senator yang paling lantang menyokong TPPA ialah Rob Portman dari Ohio dan beliau telah menerima ‘sumbangan politik’ berjumlah sekitar $120ribu daripada 14 firma seperti Goldman Sachs, Procter & Gamble dan Pfizer.

Rasuah ini ternyata berkesan apabila Presiden Obama berjaya mendapatkan kelulusan Dewan Senat untuk mempercepatkan rundingan antarabangsa dan proses meluluskan TPPA di peringkat Kongres.

Hakikatnya, ahli politik ini tidak lebih daripada menjadi hamba upahan yang bekerja bukan untuk rakyat yang mengundi mereka tetapi untuk golongan kapitalis yang tidak sabar-sabar untuk menghurung negara membangun seperti Malaysia.

Dalam satu langkah luar biasa pula, Obama dengan mudah bersetuju untuk memperbaiki kedudukan Malaysia daripada senarai negara yang mempunyai masalah penyeludupan manusia, sekaligus melayakkan negara ini menandatangani perjanjian dengan AS.

BACA: TPPA ‘pintu’ AS kuasai pentadbiran negara: MTEM

Amat menyedihkan apabila keseriusan dan kesungguhan pelbagai pihak di AS dalam memastikan TPPA memenuhi kepentingan mereka seperti langsung tidak dicontohi oleh pihak berkuasa di Malaysia.

Bukan setakat orang biasa, malahan hampir semua ahli Parlimen masih terus dibiarkan tanpa sebarang maklumat terkini berkenaan TPPA ini sedangkan kesannya jauh mencakupi segenap aspek kehidupan rakyat marhaen.

Indikasi awal mendapati TPPA bakal membawa kesan negatif antaranya ke atas keselamatan sumber makanan negara, harga ubat dan kontraktor tempatan terutamanya Bumiputera, apabila firma-firma luar diberi ruang dan peluang tanpa had.

Apakah ada di sana sesuatu yang lebih sensitif dan penting kepada kerajaan berbanding kesejahteraan rakyat dan generasi hadapan sehingga merahsiakan segala-galanya?

BACA: TPPA hampir dimuktamadkan selepas langkah Senat AS

Dengan pelbagai kepincangan kenyataan para pemimpin yang tidak mencerminkan mereka menjiwai nasib rakyat, ditambah lagi dengan skandal demi skandal, kerajaan tidak mempunyai modal kepercayaan yang banyak untuk terus meneruskan rundingan TPPA ini secara rahsia.

Kerajaan tidak mempunyai pilihan lain melainkan mendedahkan perincian terma perjanjian yang telah dipersetujui dan juga yang masih dalam rundingan. Kerajaan juga perlu nyatakan apakah tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh negara lain khususnya AS dalam rangka perjanjian ini.

Cukuplah lima tahun rakyat digelapkan daripada sebarang maklumat mengenai agenda sebesar ini. Jika pemimpin di AS bekerja untuk golongan kapitalis, untuk siapa pula pemimpin di negara kita bekerja?

Umar Hakim Mohd Tajuddin
Pembaca Ismaweb, jurutera dan tidak mahu negara dijual kepada pihak asing.

Penafian: Artikel adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam sederhana mahupun Ismaweb.net.

BERITA BERKAITAN: PEMBELA lancar kempen ‘Rakyat Bersatu Tolak TPPA’

Papar selanjutnya

2 komen

  1. FYI, kerajaan sentisa update dengan pihak-pihak berkaitan isu-isu yang telah dipersetujui, yang masih dalam perbincangan dan yang Malaysia masih tak setuju dan tengah berunding utk dpt kelonggaran

    Sangat tak tepat untuk mengatakan kerajaan tidak mendedahkan apa-apa, sedangkan hanya penulis yang tidak dijemput menghadiri sebarang event update berkaitan TPPA oleh kerajaan

    P/S: yang tidak menyokong TPPA. tapi kalau ianya jadi dan Malaysia tidak sertai, kesannya adalah lebih buruk lagi

  2. En izzuddin, siapakah pihak berkaitan itu? Bagaimana rakyat biasa orang awam ingin tahu tentang isi kandungan perjanjian tppa ini? Ada di website miti? Tolong maklumkan ke sini.

    Tuan juga nyatakan bahawa Malaysia akan alami nasib lebih Buruk jika tak sertai tppa. Tolong spesifik kan apakah kesan kesan Buruk itu?

    Terima kasih.

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close