Berita Utama

Antara Arab dan Melayu

jubahh

SAYA terpanggil untuk menjawab beberapa perkara yang telah diutarakan oleh saudara Amin Iskandar di dalam artikelnya yang bertajuk “Apabila Budaya Melayu ditelan Budaya Arab”. Artikel ini telah disiarkan oleh The Malaysian Insider pada 5 Julai 2015. Saya melihat kegusaran yang dilontarkan oleh penulis artikel tersebut bukanlah sesuatu yang wajar.

Saya merupakan seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi di United Kingdom. Sejujurnya, sepanjang tempoh pengajian saya di United Kingdom, hanya beberapa kali sahaja saya tidak memakai jubah ketika menghadiri kuliah. Ini bukanlah bermakna saya sudah melupakan budaya untuk berbaju kurung pesak gantung atau kebarung yang sememangnya amat sinonim dengan masyarakat Melayu. Cumanya saya lebih cenderung untuk mengenakan jubah kerana ianya lebih mudah dan selesa untuk dipakai.

Antara syariat dan budaya

Sebagai umat Islam, kita hendaklah tahu membezakan antara syariat dan budaya. Syariat merupakan tuntutan agama yang wajib dipatuhi oleh setiap muslim. Manakala budaya merupakan cara hidup sesebuah masyarakat. Islam meraikan kepelbagaian budaya dan cara hidup selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat.

Mengambil isu pakaian yang telah diutarakan oleh saudara Amin Iskandar, saya melihat tiada salahnya untuk seorang Muslim itu memakai jubah atau baju kurung selagi mana ianya selari dengan tuntutan syariat. Malah, terdapat berbagai jenis pakaian lain yang diterima di dalam Islam selagi mana ianya tidak bertentangan dengan tuntutan Islam.

Pemakaian baju kurung di Malaysia

Saya tertarik dengan pernyataan saudara Amin Iskandar yang berbunyi,

“Hari ini, jika anda berurusan dengan agensi-agensi kerajaan, baju kurung digunakan lebih ramai wanita bukan Melayu berbanding Melayu.”

Sepertimana Saudara Amin Iskandar melihat persekitarannya yang kini ramai memakai jubah, saya pula melihat masih ramai kenalan saya di Malaysia yang memakai baju kurung, sama ada untuk ke kuliah atau ke pejabat. Malah, saya masih ingat ketika saya bekerja di sebuah badan yang diterajui oleh kerajaan, para pekerja amatlah ditekankan untuk mengikut ‘dress code’ formal, yang mana kebiasaannya ialah berbaju kurung, ketika bekerja.

Walaubagaimanapun, seandainya pemerhatian Saudara Amin Iskandar adalah benar, saya merasa amat lega dan gembira sekali. Ini kerana, walaupun baru-baru ini, terdapat beberapa kes wanita yang berpakaian kurang sopan ketika berurusan dengan agensi kerajaan, masih juga terdapat wanita bukan Melayu yang memilih untuk berbaju kurung dan berpenampilan sopan. Ini merupakan contoh yang baik dalam mematuhi ‘dress code’ yang ditetapkan dan ia sepatutnya dicontohi oleh lebih ramai lagi wanita bukan Melayu di Malaysia.

Antara ‘Iftar’, ‘Bye’ dan ‘Tapau’

Saya melihat kerisauan saudara Amin Iskandar sebagai sesuatu yang tidak kukuh. Istilah-istilah yang digunakan untuk mempelbagaikan makna sesebuah perkataan tidak sepatutnya terus dilabel sebagai ‘penjajahan bahasa’ dan ‘arabisasi’. Sebagai rakyat yang hidup berbilang kaum dan budaya, rakyat Malaysia telah didedahkan dengan kepelbagaian bahasa semenjak kecil. Dengan menggunakan istilah seperti “iftar”, “tapau” dan “bye” tidak bererti kita telah dijajah oleh pemilik bahasa tersebut.

Penulis bolehlah rujuk kepada satu artikel tahun lepas yang telah pun membincangkan perihal ini: Kenapa kau nak jadi Arab?

Kegusaran bertempat

Setelah beberapa kali membaca artikel saudara Amin Iskandar, saya cuba untuk memahami maksud utama penulisan beliau. Akhirnya, saya dapati saudara Amin Iskandar sebenarnya cuba untuk mengekalkan budaya Melayu dan tidak mahu suatu hari kelak, ianya hanya berada di muzium dan hanya tinggal sebagai sejarah.

Seandainya benar itulah tujuannya, saya ucapkan tahniah kepada beliau kerana masih mempunyai rasa cinta dan sayang terhadap budaya ini. Saya ingin mengajak beliau dan para pembaca untuk bersama Ikatan Muslimin Malaysia dalam memartabatkan Melayu dan Islam di bumi Malaysia.

Bagaimanapun, ingin saya tekankan di sini, selagi mana tidak bertentangan dengan syariat, bukanlah pemakaian jubah dan penggunaan istilah Arab yang akan merosakkan budaya Melayu dan Islam. Sebaliknya, kegagalan manusia untuk kembali patuh kepada fitrahlah yang akan menjatuhkan peradaban dan budaya sesebuah masyarakat.

Justeru, saya ingin menyeru diri saya sendiri, saudara Amin Iskandar dan para pembaca untuk kembali patuh kepada syariat Islam yang telah ditetapkan oleh Allah. Marilah kita menghalakan kegusaran dan kerisauan yang sebenar terhadap sesuatu yang lebih besar iaitu budaya-budaya yang bertentangan dengan syariat Islam seperti berpakaian mencolok mata, pergaulan bebas, dan lain-lain lagi.

Saya akhiri penulisan ini dengan peringatan daripada Allah di dalam Surah ‘Ali Imran, ayat 85:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”

 

Nabilah al-Malhuki Abdul Aziz
Mahasiswi Kaplan College, Manchester
Ahli Kajian ISMA Eropah

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam sederhana mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close