Kata Pedang

Mungkin ‘jin’ larikan wang negara

jin

TUN Dr Mahathir Mohamad tidak keseorangan. Datuk Seri Najib Razak pula berkata beliau tidak kesepian. Bagaimana dengan kita? Adakah kita bersendirian?

Tidak!

Di atas muka bumi Allah Taala yang luas terbentang ini, hidup bersama-sama kita ialah satu golongan makhluk lagi iaitu jin.

Di kalangan jin, ada yang beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW. Ada juga jin yang tidak beriman kepada Allah Taala. Mereka ini mengambil sebutir kebenaran dan mencampurkannya dengan lebih banyak pembohongan untuk mengelirukan manusia.

Jin ada yang Islam dan ada juga yang kafir. Dalilnya firman Allah yang bermaksud:

Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan” (Surah Al-Jin ayat 11)

Sesetengah pihak mengatakan bahawa sama seperti manusia, jin juga mempunyai pengikut daripada aliran tertentu. Ada yang mukmin pengikut tariqah Ahlus Sunnah Wal Jamaah menurut pemahaman salafus shalih, ada yang mukmin pengikut muktazilah dan ada yang mukmin pengikut ahlul bidaah lainnya.

Kadang kala ‘jin’ dan manusia mengadakan pakatan jahat untuk menipu manusia supaya terjebak ke dalam dosa.

Seperti disebut dalam al-Quran, jin juga ada lelaki dan perempuan, berkahwin dan beranak-pinak dan ada tempat tinggal sendiri. Kadang kala ‘jin’ ini akan menumpang di rumah kita dan akan berbisik-bisik kepada kita supaya melakukan sesuatu yang mungkar.

‘Jin’ juga makan seperti kita, cuma makanannya tidak sama seperti kita. Yang menariknya ialah jin ini ada kalanya mencuri makanan kita sebagaimana diriwayatkan dalam satu hadis dari Abu Hurairah.

Berdasarkan hadis itu, kita rasa tidak mustahil kemaslahatan yang berlaku dalam negara ketika ini terutama membabitkan isu politik dan perbelanjaan, mungkin ada kaitan dengan jin.

Keputusan-keputusan yang dibuat secara sulit oleh pihak tertentu dalam menggunakan dana awam dan wang rakyat mungkin juga akibat pengaruh jin, terutama jin kafir yang sememangnya tidak senang dengan perkembangan dan pengaruh Islam di Malaysia.

Sebenarnya, jin yang kita tidak nampak dengan mata kasar ini bijak dalam hal-hal ekonomi dan politik. Oleh itu, beringatlah terhadap pengaruh jin ini.

Allah SWT telah memberi amaran kepada kita mengenai makhluk jin ini dan Dia juga menunjukkan jalan kepada kita bagaimana memerangi jin ini. Carilah jalan untuk melawan makhluk ini.

KATA PEDANG: Kita bimbang, kehilangan atau lesapnya wang-wang negara selama ini adalah angkara jin- jin ini.

Penafian: KATA-KATA PEDANG adalah satu ruangan baru di ISMAweb. Ia adalah segmen lidah pengarang yang diterbitkan setiap hari dan pandangan yang dilontarkan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebagai pertubuhan Islam sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close