Berita Utama

Pendatang asing tanpa izin perlu dihantar pulang?

pati
RAMAI juga yang mencadangkan dan bersetuju rakyat negara jiran yang ditangkap masuk ke negara kita sebagai pendatang asing untuk dihantar pulang ke negara masing-masing.

Pandangan saya sedikit berbeza dalam isu ini.

Pertama, saya tegaskan saya bersetuju mereka bersalah kerana masuk ke negara kita secara haram kerana tiada permit yang sah. Itu sudah jelas.

Namun ada kebaikannya jika kita menilai alasan kenapa mereka datang ke mari. Hampir kesemua mereka datang ke sini untuk mencari rezeki halal kerana kesempitan hidup yang melarat di tanahair sendiri. Ada pula situasi mereka yang melarikan diri kerana bahaya dan penindasan terhadap mereka di tanah tumpah darah mereka sendiri itu.

Rata-rata mereka yang datang dari Thailand, Filipina, Bangladesh, Burma, Indonesia dan lain-lain itu adalah orang Islam yang memerlukan bantuan. Jika kita melihat peranan dan kepentingan kita sebagai masyarakat muslim membantu sesama saudara Islam, saya berpendapat menolong mereka mendapatkan pas masuk yang betul dan memberikan peluang rezeki adalah lebih utama berbanding menghantar mereka pulang ke tempat sendiri yang sebenarnya merupakan ‘neraka’ mereka sendiri. 

Jika kita menjadi mereka yang bersabung nyawa melalui laut dalam bot kecil untuk sampai ke Malaysia, sudah pasti kita tidak sanggup dihantar pulang semua ke tempat asal yang sudah dianggap tempat paling menyeksakan.

Jika suatu hari nanti rakyat Malaysia pula yang mengalami kesempitan hidup atau ditindas di negara sendiri dan melarikan diri ke negara jiran (mohon dijauhkan perkara ini berlaku), sudah pasti kita mengharapkan bantuan sewajarnya daripada pihak negara jiran terutamanya yang beragama Islam.

Saya sedang memikirkan apa justifikasi dan sebab mereka memilih Malaysia sebagai destinasi ‘pelarian’ mereka. Cuba fikir positif. Mungkin mereka rasa Malaysia sebuah negara Islam yang kaya dan pemurah yang menyediakan peluang rezeki untuk mengubah nasib hidup mereka. Jika ini benar, kita seharusnya berbangga dengan negara kita. Allahu a’lam. Sesungguhnya Allah SWT sahajalah yang Maha Tahu. 

Saya di sini tidak menafikan kepentingan dan kemestian untuk mewujudkan pengawalan dan pengawasan terhadap kemasukan mereka ini. Risau juga apa akan berlaku dengan keadaan sosial dan sosioekonomi kita. Tetapi sebagai orang Islam, membantu saudara Islam yang lain adalah satu pahala yang perlu dititikberatkan.

Sekalipun penulisan pandangan saya ini tidak menjadi realiti dan mereka tetap dihantar pulang, sekurang-kurangnya kita berfikir tentang realiti umat Islam sekarang iaitu;

1) Di mana-mana sahaja terdapat umat Islam yang merana dari segi ekonomi, fizikal dan mental. Bahkan diseksa oleh masyarakat dan negara mereka sendiri kerana perbezaan agama. Cuba lihat masyarakat Rohingya dibunuh dengan ‘murah’ dengan alasan mereka layak dibunuh. Alasan utama adalah kerana mereka orang Islam!!!!

2) Dalam setiap perkara yang kita lakukan, kita perlu memperbanyakkan perbincangan. Dapatkanlah pandangan daripada pelbagai pihak. Bermesyuarat! Bak kata orang, lain orang lain ideanya, lain fikrahnya, lain sensitivitinya. Lebih-lebih lagi para pemimpin dan pegawai masyarakat. Selepas itu, buatlah keputusan berdasarkan pandangan dan komentar yang diberi. Jangan ambil pandangan persendirian apatah lagi menurut nafsu dan ego.

3) Jati diri umat Islam makin lumpuh. Sudah berkurang belas ihsan kita sesama kita. Ramai antara kita yang hanya memikirkan periuk nasi sendiri tanpa mahu berkongsi apa yang kita ada dengan orang lain yang memerlukan. Sekalipun kita tidak ada wang untuk dikongsikan, tidakkah kita mahu berkongsi keamanan yang kita ada bersama mereka?

Allahu Allah. Mari kita titipkan doa agar kita semua umat Islam sentiasa dilindungi oleh Allah SWT dan hidup aman damai sesama kita dan juga bersama masyarakat bukan Muslim walau di mana kita berada. Ameen.

Muhamad Syahrul Fitri Zawawi

Penafian: Artikel ini tidak mewakili pandangan rasmi ISMA dan ISMAweb.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Satu komen

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close