Berita Utama

PRN saksikan pertembungan dua penjuru, pakar ramal PH-BN lebih untung?

Kelebihan PN tak boleh pandang remeh, gelombang hijau masih wujud

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 7 Zulhijjah 1444H, Isnin – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang dahulunya musuh politik, dan kini bergabung membentuk koalisi baharu sudah tentu mengambil masa yang lama untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

Bahkan, sehingga hari ini dapat dilihat banyak keputusan bersama belum dicapai sepenuhnya dalam gabungan PH-BN. 

Termasuk dari segi penentuan bilangan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, jelas pelbagai isu sepertinya belum selesai antara keduanya. 

Bagaimanapun, penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, itu adalah perkara lazim dalam politik. 

Beliau berkata, perundingan itu sesuatu yang perlu dan sudah pasti akan ada perasaan tidak berpuas hati dan sebaliknya dalam pembahagian kerusi.

“Kalau kita lihat pada gabungan PH-BN ini di peringkat akar umbi UMNO. Ada yang bersetuju, tetapi tak semua. Pasti ada yang menentang.

“Mereka (UMNO) memerlukan masa untuk memberi kefahaman kepada ahlinya mengenai gabungan baharu tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun gabungan ini tidak mungkin mendapat sokongan sepenuhnya ahli, misalnya calon PH mungkin tidak memperoleh sokongan 100 peratus penyokong UMNO demikian juga sebaliknya, PRN ini bakal memberi kelainan kepada senario pilihan raya.

“Apabila wujud dua penjuru PH-BN menentang Perikatan Nasional (PN) sudah pasti ia akan memberikan satu impak yang besar. Kalau dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, berlakunya 3 penjuru, memberikan jumlah kerusi yang besar kepada PH. 

“Hasilnya apabila bergabung dengan BN, parti dari Sabah dan Sarawak dapat menubuhkan kerajaan perpaduan yang kuat. 

“Kalau bertembung dalam PRN ini dua penjuru, kemungkinan kelebihan itu ada pada PH dan BN,” katanya menilai kelebihan yang diramal akan diperoleh gabungan PH-BN yang membentuk kerajaan perpaduan hari ini.

Pun begitu, beliau berkata, PH-BN tidak boleh terlalu yakin kerana ketika ini PN juga mempunyai kelebihan di mana gelombang hijau masih wujud.

“‘Green wave’ ini masih lagi menjadi faktor yang mungkin akan menjadi ancaman kepada gabungan BN-PH. Jadi mereka tidak boleh terlalu selesa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button