Berita UtamaPendapatUtama

Hulubalang Kacang Merah dan Unta Merah di bumi Anbiyaa’

Peguam-Luttfi-1024x781

SAYA pernah menulis pada tahun lepas mengenai usaha media dan portal pembangkang yang cuba memancing penulis-penulis dari kalangan ‘Islamis’ untuk berkarya di dalam media maya mereka sebagai satu strategi licik menghadapi kumpulan Islam, khususnya Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan juga pertubuhan Islam lain.

Penulisan seumpama itu dapat dikesan melalui dua artikel yang pernah ditulis oleh salah seorang wartawan roketkini dengan menjadikan ISMA sebagai sasarannya.

Saya tidak pasti setakat mana keberkesanan strategi pembangkang (DAP) ini, namun yang pasti keanggotaan dan keahlian ISMA tidak berkurangan semenjak tempoh tersebut. Sebaliknya, ISMA berjaya menambahkan lagi cawangannya di beberapa negeri di Malaysia dan di luar negara.

Kini, heboh pula berita seorang ahli IKRAM (yang juga seorang wartawan roketkini) berjaya membuka jalan kepada sebahagian pimpinan puak-puak DAP untuk melakukan ekspedisi mahabbah di Jordan dan Mesir.

Umum mengetahui pendirian dan sikap DAP terhadap Islam, khususnya dalam konteks Malaysia. Falsafah dan ideologi sosialis, evangelis dan ekstrimis serta rasis juga bukan lagi satu rahsia yang tersembunyi pada parti pembangkang itu.

Tanyalah pada ahli-ahli PAS yang tegar, adakah DAP rakan politik dan sahabat seperjuangan yang boleh dipercayai dan amanah dalam urusan-urusan Islam di Malaysia!

Bukan susah untuk membaca rentak dan permainan politik jangka panjang DAP di dalam ziarah Timur Tengah kali ini. Mereka sudah mula mengumpul dan mempromosikan beberapa individu Melayu di dalam ‘kandang’ mereka.

Mereka sudah ada penyokong-penyokong tegar di kalangan parti PAS yang berkobar-kobar semangat PASMA mereka.

Mereka juga mempunyai sebaris penulis ‘Islamis’ untuk memaniskan artikel-artikel atau bahan-bahan untuk tatapan para pembaca mereka dari kalangan umat Islam.

Kini, mereka telah mengorak satu langkah untuk membina hubungan intim dengan institusi-institusi kajian dan strategik di bumi Anbiyaa’, sesuatu yang mungkin tidak pernah terbayang di benak para pemimpin tegar DAP. Ini satu ‘scoop’ yang berharga, yang bakal dipasangkan dengan dapatan-dapatan yang terhasil dari pusat-pusat kajian tempatan mereka.

DAP-Mesir-1

Mereka tentunya tidak ke bahagian dunia ini untuk menikmati Mansaf atau ‘Asir yang begitu dikenali di kalangan para siswa-siswi Malaysia!

Dan, para pemimpin DAP ini tidak akan berjaya tanpa semangat juang yang tinggi dari wartawan mereka yang sangat teruja berselfie bersama.

Ini adalah satu detik bersejarah buat wartawan roketkini/ahli IKRAM yang bertuah itu dan satu ‘first’ buat NGO Islam yang dianggotainya. Tindakan dan kejayaan ini tidak menghairankan oleh kerana asas dan tapaknya telahpun disediakan terlebih dahulu sebelum ini – dengan Negara-Ku, dengan perlantikan pimpinan mereka ke jawatan-jawatan penting di dalam parti-parti politik sekutu DAP, khususnya PKR dan dengan keikutsertaan mereka di dalam gerakan-gerakan sivil/pro-pembangkang sejak beberapa lama. “Menguruskan Perbezaan” dan “Bersetuju Untuk Tidak Bersetuju” sudahpun menjadi mantra popular di sisi mereka.

Dari satu segi, saya berasakan bahawa kejayaan membawa rombongan pimpinan DAP ke bumi Anbiyaa’ adalah sebagai satu daya usaha yang patut digalakkan supaya hulubalang Kacang Merah dapat dipujuk dan didakwahkan secara penuh hikmah dan bijaksana. Mana tahu, Kacang Merah boleh berubah menjadi Unta Merah!

Namun, di sisi yang lain (dan dengan meneliti inti pati dan dasar DAP ini secara mendalam), saya melihatnya tidak lebih daripada satu usaha IKRAM untuk memposisikan diri sendiri dengan para pemain politik yang berpotensi untuk menentukan dasar dan hala tuju negara dari puncak Putrajaya satu masa nanti.

Di sudut pandangan yang lain pula, rehlah qiyadah DAP tidak akan merubah apa-apa pada karakter semulajadi mereka ataupun ideologi perjuangan mereka.

Kemurnian dan kesucian Kaabah tidak akan tercemar dengan masuknya Abu Jahal atau Abu Lahab ke dalamnya. Demikian pula kekufuran dan sifat penentangan kedua-dua tokoh Jahiliyah ini tidak akan tiba-tiba bertukar menjadi murni dengan bergeselnya jubah mereka pada kelambu Kaabah!

Oleh kerana inisiatif ahli IKRAM itu telah diperkatakan oleh banyak pihak dan ramai yang mengomentarinya di alam maya, satu tindakan atau kenyataan yang boleh menjernihkan suasana sangat dinanti-nantikan daripada pihak pimpinan IKRAM.

Bersikap sunyi sepi dan berdiam diri pimpinan NGO Islam ini akan menimbulkan beberapa persepsi atau tanggapan umat Islam dan para pencinta Islam di tanah air: Sama ada tindakan ini direstui dan diarahkan oleh pihak atasan, atau ia hanya tindakan sembrono seorang ahli yang ghairah, bersemangat dan begitu teruja untuk berselfie bersama beberapa kerat pemimpin DAP.

Kalau inilah senarionya, sudah tentu langkah yang bijaksana ialah dengan berlepas diri daripada tindakan ahli yang nakal itu.

Apapun, semoga pemuda Kacang Merah akan kembali ke tanah air sebagai sekumpulan Unta Merah yang dicemburui!

Mohd Luttfi Abdul Khalid
Peguam dan aktivis ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak kena mengena dengan ISMA mahupun Media Isma Sdn Bhd

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close