Dunia

10 peratus penduduk dunia dijangkiti COVID-19: WHO

Asia Tenggara catat peningkatan kes, Eropah pertambahan angka kematian

GENEVA, 18 Safar 1442H, Selasa – Sekurang-kurangnya 10 peratus penduduk dunia telah dijangkiti wabak pandemik COVID-19, kata Ketua Program Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Mike Ryan.  

Bercakap pada mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO mengenai COVID-19, Ryan berkata, Asia Tenggara terus mencatatkan peningkatan kes, sementara wilayah Eropah dan Mediterranean Timur menunjukkan pertambahan jumlah kematian.

Situasi di Afrika dan Pasifik Barat lebih positif, katanya. 

“Kita menjangkakan bahawa sekitar 10 peratus populasi global mungkin dijangkiti wabak ini,” katanya. 

Jangkaan ini juga berbeza-beza bergantung kepada negara, antara bandar dan luar bandar serta antara pelbagai kumpulan, katanya.

“Tetapi apa yang dimaksudkan dengan anggaran 10 peratus adalah sebahagian besar dunia tetap berisiko,” katanya.

Ryan berkata, para saintis dan pakar kesihatan percaya bahawa wabak itu akan terus menular.

“Dan kita juga mempunyai alat yang berfungsi untuk menyekat transmisi dan menyelamatkan nyawa (mereka dijangkiti),” katanya. 

Setakat ini, 35.3 juta penduduk dunia sudah dijangkiti COVID-19, yang mana 24.6 juta telah pulih dan jumlah kumulatif kematian adalah 1.04 juta.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button