Berita Utama

Dyana Sofya di sebalik kempen ‘wake up to a good cause’

isma-slv-front-19

Baru-baru ini Marie Claire Malaysia telah menganjurkan kempen ‘wake up to a good cause’ bersempena sambutan ulang tahun yang ke-21 majalah tersebut berada dalam pasaran Malaysia.

Melalui kempen ini, mereka yang ingin mengambil bahagian perlu merakam foto peribadi yang bertemakan ‘bangun dari tidur’ dan memuat naik foto tersebut ke laman sosial Instagram. Bagi setiap foto yang dimuat naik, Marie Claire akan mendermakan RM10 ke Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

“Have you take your out of bed selfie yet?”

Dyana Sofya Mohd Daud, bekas calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan merupakan antara individu yang turut sama mengambil bahagian dalam kempen yang berlangsung selama dua bulan ini.

Beliau telah memuatnaik status di atas, ke akaun facebook miliknya bersama sekeping foto peribadi beliau sebagai tanda sokongan.

Secara peribadi, saya melihat kempen ini sebagai suatu gejala tidak sihat dari Barat yang cuba diserap masuk ke dalam negara kita. Sebagai sebuah negara yang terkenal dengan ciri-ciri ketimuran, kempen sebegini jelas bertentangan dengan moral serta budaya masyarakat setempat.

Namun, perkara sebaliknya berlaku bilamana terdapat beberapa personaliti tempatan turut mengambil bahagian dalam menyokong kempen ini. Lebih menyedihkan apabila individu-individu yang mengambil bahagian dan menyokong kempen ini berstatus seorang Melayu Muslim.

Justeru, saya merasakan teguran Ketua Penerangan Puteri UMNO, Haryaty Hamdzah terhadap tindakan pemimpin muda DAP, Dyana Sofya yang menyokong kempen ini, sebagai suatu tindakan yang berasas. Sejujurnya saya menjangkakan Dyana Sofya akan lebih terbuka dalam menerima teguran tersebut.

Malangnya, Dyana Sofya lebih memilih pendekatan untuk mempertahankan tindakannya dengan alasan untuk beramal dengan mengumpul dana bagi membangkitkan kesedaran terhadap hak wanita.

Kemana hilangnya nilai ketimuran?

Saya mengajak pembaca untuk berfikir lebih mendalam mengenai penganjuran kempen ini dan tidak terbatas hanya pada pengumpulan dana bagi pembangunan wanita sahaja. Ketepikan perbezaan blok politik buat sementara dengan memfokuskan pemikiran kita kepada kesan penganjuran kempen ini terhadap pembentukan peribadi muda-mudi di Malaysia.

Merakam foto peribadi di bilik tidur bukanlah satu tindakan yang wajar sekalipun ia bertujuan untuk mengumpul dana. Mana perginya sifat malu, sopan-santun dan budaya Timur yang menjadi adat dan resam dalam masyarakat kita? Itu belum lagi disentuh dari segi susuk tubuh sebagai seorang wanita Melayu beragama Islam. Saya yakin beliau sudah cukup dewasa untuk membuat pertimbangan mengenai perkara halal dan haram.

Jangan terlalu naif dengan hanya melihat dari sudut pengumpulan dana sahaja sedangkan pihak majalah terbabit punya agenda yang lebih besar. Tidak terfikirkah kita dengan memuatkan foto-foto ‘selfie’ ke dalam majalah terbitan Mac, mereka mampu meningkatkan jumlah penjualan majalah tersebut berlipat kali ganda?

Sedang pada akhirnya, kita yang menanggung rugi – tubuh badan dieksploitasi pihak tertentu bagi mengaut keuntungan dan muda-mudi semakin hanyut dengan sajian dan lambakan bahan bacaan picisan di pasaran. Inikah yang dikatakan sebagai membela hak wanita?

Matlamat tidak menghalalkan cara

Saya tidak menafikan tujuan Dyana Sofya untuk mengutip dana bagi membangkitkan kesedaran terhadap hak wanita merupakan suatu tindakan yang mulia dan harus dipuji. Namun, sebagai seorang yang beragama Islam beliau seharusnya lebih peka dengan hukum-hakam yang telah digariskan di dalam Islam.

Suka untuk saya kongsikan tulisan Dr Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya yang masyhur, al-Halal wal Haram fil Islam yang menerangkan bahawa:

“Perundangan Islam tidak mengiktiraf sama sekali konsep ‘bila tujuannnya baik, maka jalan menujunya mesti baik’ atau konsep ‘untuk menyampaikan kepada kebenaran, boleh membuat apa sahaja dari perkara batil’. Sebaliknya, yang dianjurkan oleh agama ini ialah, untuk mencapai ke jalan kebenaran, mestilah menerusi jalan yang benar sahaja.”

Petikan di atas menjelaskan konsep ‘niat tidak menghalalkan cara’ yang terdapat dalam ajaran Islam. Dengan jawatan yang disandang serta kuasa yang dimiliki, saya cukup yakin Dyana Sofya mampu untuk menganjurkan satu aktiviti kemasyarakatan yang jauh lebih baik dari kempen ‘wake up to a good cause’ ini, jika benar beliau ingin melakukan kerja amal.

Kembali kepada Islam yang sebenar

Bukanlah niat saya untuk memburuk atau menjatuhkan reputasi Dyana Sofya sebagai seorang pemimpin muda di Malaysia. Namun, saya berasa terpanggil untuk mengatakan yang hak setelah mengambil kira keadaan umat Islam yang boleh dikatakan kritikal pada hari ini.

Saya beri contoh ulasan Sisters In Islam berkenaan tindakan Dyana Sofya:
“1. Mengapa mahu memfitnah dan mensensasikan gambar yang sebenarnya tidak menayangkan bentuk badan pun? Bukankah memfitnah itu juga tidak Islamik?

Sampai bila mahu kritik wanita, lagi-lagi kritikan terhadap bentuk fizikal dan paras rupa?
Daripada hanya memberi cadangan dan ‘nasihat’ untuk bagaimana cara yang betul dan sopan bagi mengumpul dana, apa kata saudari sendiri yang buat aktiviti mengumpul dana untuk membantu ramai wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga?”

Kenyataan seperti ini mampu menjadi barah dalam masyarakat muslim di Malaysia jika tiada pihak yang bertindak membendungnya. Bagaimana mungkin sebuah badan yang mengaku memperjuangkan hak wanita dalam kerangka Islam berasaskan prinsip kesamarataan, keadilan dan kebebasan, seperti yang diperintahkan dalam al-Quran, mengeluarkan kenyataan seperti di atas?

“Dan janganlah kamu campur-adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya”- (Al-Baqarah ayat 42)

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ini jelas menunjukkan kewajipan ke atas setiap Muslim untuk mengatakan kebenaran dalam apa jua hal. Alangkah baiknya jika setiap dari kita yang bergelar Muslim mampu bersatu memikul tanggungjawab ini tanpa dibatasi benteng politik kepartian.

Saya yakin, setiap daripada kita yang bergelar muslim punya impian untuk melihat syariat Islam kembali tertegak dan saya positif dengan adanya kesatuan umat, impian ini mampu untuk direalisasikan.

hidayah

Nor Hidayah Awang
Penolong Setiausaha ISMA UK-Eire
Pelajar Tahun 3 Perakaunan
Cardiff University, UK

Penafian: Artikel ini tiada kaitan dengan ISMA sebaliknya ia adalah pandangan penulis semata-mata.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close