Komuniti

Ilmu kaunseling – Peluang memantapkan keimanan

Sewaktu tahun kedua pengajian di Fakulti Perubatan, kami belajar mengenai konsep ‘stages of grief’ atau boleh diterjemahkan kepada fasa-fasa yang dilalui oleh seseorang yang ditimpa musibah/bersedih.

Menurut teori ini ada beberapa peringkat yang akan dilalui oleh setiap orang yang ditimpa musibah. Lanjutan itu, kami dilatih untuk memberikan grief counselling kepada pesakit dan juga teknik-teknik ‘breaking bad news‘.

Saya bersyukur dapat peluang menuntut di Monash University, Melbourne yang mana silibus perubatannya bersifat holistik. Kami tidak hanya belajar teori tentang sesuatu penyakit tetapi juga mendalami apa yang difikirkan di benak pesakit mengenai penyakit mereka.

Kunci kejayaan pada seorang doktor terletak di sini, pada pendapat saya! Saya pernah berjumpa dengan seorang pesakit diabetes yang mempunyai tahap gula yang tinggi sehingga doktor-doktor lain yang beliau temui menaikkan dos ubatan setiap kali beliau datang ke klinik.

Apabila saya mula berbual dengan pesakit ini, baru pesakit bercerita ‘rahsianya’ yang selama ini dia mengambil ubatan yang diberi doktor, tetapi mencuba produk tradisional yang diperkenalkan saudaranya.

Saya terfikir, patutlah dos ubat tinggi, gula tak turun! Apabila saya menerangkan satu persatu tentang penyakit diabetes dan kesannya, barulah pesakit tadi kelihatan faham dan bersemangat untuk meningkatkan status kesihatannya.

Dulu tutor selalu berpesan, ‘don’t treat the blood test but treat the patient‘. Kini, saya lebih faham. Namun, bagi saya teori-teori yang dipelajari di sekolah perubatan perlu diperhalusi dan disesuaikan dengan konteks kita sebagai seorang muslim.

Di sinilah Islam mengajar kita bahawa Al-Quran dan Hadith Rasulullah jauh lebih berharga daripada teori-teori perubatan/psikologi. Hal ini kerana sebagai seorang muslim, asas utama haruslah tunjang yang kuat kepada konsep keimanan kepada Allah, mengatasi ‘keimanan’ kepada konsep-konsep sains kerana satu perkara yang perlu kita faham, SAINS adalah juga MAKHLUK ALLAH.

Allah tidak menciptakan sains supaya manusia boleh berkiblat kepadanya, tetapi untuk mengawasi dan mengatur kehidupan manusia.

Contohnya, dengan kehadiran graviti, kita tidak terawang-awang bila berjalan. Setiap benda yang dicampakkan akan jatuh ke bawah, kata professor yang menerangkan konsep graviti. Bukan kerana graviti yang berkuasa, tetapi Allah yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana mencipta graviti untuk kemudahan hamba-Nya dan menunjukkan kekuasaan-Nya.

Kisah-kisah para Rasul terdahulu telah membuktikan kebenaran ini. Contohnya api boleh menjadi sejuk dengan izin Allah (kisah Nabi Ibrahim) walaupun secara saintifik api itu bersifat panas dan membakar. Sains tunduk kepada Allah!

Berbalik kepada teori kaunseling tadi, saya lebih suka menerapkan nilai-nilai Islam di dalamnya. Sebagai contoh, apabila kita mahu memberi semangat atau nasihat, kita mengaitkan sesuatu itu dengan alam dan kekuasaan Allah.

Sesetengah pihak berpendapat kaedah sebegini adalah kurang sesuai atau prejudis tetapi bagi saya buat apa berselindung di sebalik teori dan perasaan manusia sehingga ‘terputus’ hubungan kita dengan ‘langit’? Kembali kepada Allah adalah mengajak manusia untuk kembali kepada realiti, dan apa salahnya di sini?

Bukankah Allah yang mentakdirkan banjir dan musibah yang lain?

Bukankah Allah jualah yang memberikan kita makanan, pakaian dan tempat tinggal?

Ada juga yang mengatakan pernyataan ini simplistic, buat apa bercakap tentang perkara yang semua orang sudah tahu, tetapi pada saya, yang ‘simple’ inilah manusia sering lupa dan alpa.

Seorang ustaz berkata, ‘orang yang tahu tak semestinya sedar, dan orang yang sedar insyaAllah dia tahu’. Saya mengakui pernyataan ini. Semua orang tahu Allah adalah Rabb tapi mengapa masih tidak solat dan melakukan maksiat? Kerana kurang ‘sedar’ atau ‘God consciousness’/ iman kepada Allah.

Mengapa saya mengulas tentang grief councelling? Ini kerana pada saya ia adalah contoh terbaik untuk umat Islam faham tentang agenda ‘Islam liberal’ atau ‘moderate Muslims’.

Orang yang mengelak untuk mengaitkan sesuatu dengan pencipta atau agama adalah golongan yang berfikiran sebegini. Mereka menuduh golongan yang asyik bercakap tentang agama sebagai ‘extremists’ dan mereka mendabik dada sebagai golongan yang moderat, progresif dan berfikiran maju.

Minta maaf, bagi saya agama dan aqidah yang memajukan diri saya sehingga ke tempat yang saya ada sekarang.

Saya belajar di negara maju dan bukan negara Islam tetapi saya ‘mengenal’ Islam dengan lebih mendalam di sini, bergaul dengan masyarakat Islam tempatan, luar negara, orang Kristian dan Yahudi. Saya mengenali perwatakan mereka dan pengalaman berharga selama 10 tahun di bumi kanggaru ini menjadikan saya seorang yang lebih berbangga dan berpegang kuat dengan Islam.

Golongan moderate Muslims akan terus menjadikan umat Islam ‘lari’ daripada kefahaman Islam yang sebenar dengan konsep-konsep dan teori yang pelbagai. Tambahan pula, mereka mendapat liputan luas media yang sememangnya mengenengahkan mereka sebagai idola m­asyarakat kerana media ini tentunya mempunyai agenda tersendiri.

Perkara yang akan menyelamatkan umat Islam hari ini tidak lain dan tidak bukan ialah kembali kepada agama yang suci ini. Terlalu banyak isu semasa yang dimanipulasi golongan-golongan moderat ini dan kita perlu bijak menilai dan jangan terima bulat-bulat.

Islam bukan agama yang hanya berinteraksi dengan akal manusia kerana akal manusia sangat terbatas. Sepatutnya dengan keistimewaan akal inilah kita dapat membezakan yang baik dan buruk.

Ayuh, bangunlah, bacalah dan dalamilah agama ini supaya kita menjadi golongan yang benar dan berpegang dengan kebenaran insyaAllah.

Dr. Nur Farrah Nadia Najib
Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat,
Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Johor

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close