Berita Utama

Pulau Pinang mula PICKids esok

Utamakan kanak-kanak komorbid atau tergolong dalam berisiko tinggi

GEORGE TOWN, 4 Rejab 1443H, Ahad – Pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) di Pulau Pinang akan bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, untuk permulaan PICKids akan dilaksanakan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi kanak-kanak yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kalangan berisiko tinggi.

“Untuk peringkat permulaan ini, hospital lain masih belum terlibat. Bagi kanak-kanak yang tiada penyakit, mereka akan disuntik sama ada di klinik kesihatan atau di sekolah masing-masing. Berdasarkan maklumat, populasi kanak-kanak dalam kalangan usia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang berjumlah 160,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

PICKids bermula sejak 3 Februari lepas di ibu negara dan ia diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang didaftarkan oleh ibu bapa mereka secara sukarela.

Sementara itu, Norlela berkata, dua lagi kluster pendidikan membabitkan kes COVID-19 dilaporkan di Pulau Pinang hingga semalam menjadikan 12 kluster tersebut aktif ketika ini.

Menurutnya, dua kluster itu ialah Kluster Bandar Putra Bertam di Madrasah Al-Aminiah Bertam Tahfiz Vokasional di daerah Seberang Perai Utara dan Kluster Jalan Bukit Minyak Dua di Kolej Vokasional Seberang Perai di daerah Seberang Perai Tengah.

“Berdasarkan taburan kes COVID-19 yang melibatkan sekolah sejak 30 Januari hingga semalam, terdapat kes (COVID-19) di 60 sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard bagi membendung penularan COVID-19 kerana ketika ini terdapat 19 kluster aktif di Pulau Pinang dengan 12 daripadanya adalah institusi pendidikan, sektor perkilangan dan tempat kerja masing-masing tiga manakala pusat tahanan satu.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button