PendapatUtama

Nasib Malaysia, Melayu dan Islam di antara dua Syawal – Danial Ariff Shaari

Beberapa bulan selepas Syawal yang lalu kita menerima khabar mengenai tuntutan COMANGO yang melobi semasa Semakan Berkala Sejagat di Geneva pada 24 Oktober 2013 yang mahukan pembaharuan struktur sosial di Malaysia. Menjelang Syawal kali ini kita disaji dengan satu lagi tuntutan dengan jenama yang lain namun masih bermatlamatkan agenda yang sama iaitu pakatan Negara-Ku. Dan dalam tempoh antara dua Syawal ini pelbagai cabaran yang melanda umat atau individu Muslim dan mereka tidak pernah lekang daripada strategi.

Di Malaysia, perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan. Dalam ucapan Hari Raya oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada malam Raya pertama, beliau mengatakan bahawa pengiktirafan tersebut menafikan kewujudan atau sebarang usaha memperjuangkan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, dan beliau secara spesifik menyebut liberalisme dan ekstremisme.

Kedua-dua frasa tersebut memerlukan penjelasan. Apa yang pasti, kedua-duanya adalah olahan pemikir-pemikir Barat apabila mereka berbincang mengenai Islam dan politiknya. Kedua-duanya tidak ada tempat di dalam Islam melainkan Islam itu sendiri.

Melalui COMANGO, Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Dalam Artikel 18 ICCPR mengandungi hak kebebasan beragama. Kebebasan untuk memilih agama atau kepercayaan merangkumi hak seseorang untuk menukar agama yang dianuti, dan ini adalah satu bentuk ancaman terutamanya kepada orang Islam.

Malaysia juga digesa untuk menandatangani International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Implikasi perkara ini akan mengheret kepada isu perkauman dan mencabar status quo yang melibatkan kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia sepertimana yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia dan semangat kontrak sosial. Ia hanyalah perjuangan kesamarataan dan bukan mengikut konsep keadilan sebenar, apatah lagi menguntungkan Islam dan umatnya.

Malaysia juga digesa untuk mengiktiraf hak-hak Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) terutamanya hak-hak lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT). Tuntutan ini turut merangkumi kepada amalan kebebasan orientasi seksual songsang dengan hukum alam termasuk memberi kebenaran untuk mengiktiraf perkahwinan sesama jenis.

Apakah ini intipati ajaran Islam itu sendiri? Dan apakah ini selari dengan peruntukan perlembagaan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan? Tidak.

Apabila Dong Zong membuat tuntutan memperjuangkan hak orang Cina dari aspek pendidikan, umat Islam berlapang dada dan cuba memenuhinya atas dasar kesaksamaan dan hak asasi. Namun apabila orang Melayu mahukan pembelaan terhadap bangsanya sendiri, berlandaskan hak-hak bumiputera yang diiktiraf secara jelas oleh Perlembagaan dikatakan pula rasis yang melampau. Adakah dinamik perjuangan ini berlainan? Tidak, yang berbeza hanyalah kesungguhan dan kebanggaan menjadi ahli kepada sesuatu bangsa.

Apabila DAP menginginkan Malaysia yang bersatu dalam bentuk asimilasi kaum, mereka tidak pula menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama bagi anak-anak mereka, apatah lagi mereka mahu mengekalkan SJKC atau SJKC dengan alasan perlukan bahasa sendiri yang memudah cara pembelajaran lalu mengenepikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Persekutuan. Adakah ini memenuhi aspirasi perlembagaan atau suatu bentuk ‘institutional reformation’? Atau apakah perjuangan anda ‘Anything but Malay Muslims?’.

Apabila SIS tampil mendepani perjuangan hak wanita di Negara kononnya, agenda feminisme yang dibawa jelas bertentangan dengan agama walaupun Islam diletak sebagai nama organisasi. Apabila seorang Muslimah dicaci oleh bangsanya sendiri, tiada pula seruan mempertahankan integritinya. Dan apabila seorang Muslimah ingin kekal bertudung ketika bekerja, tiada pula suara yang memperjuangkan hak mengamalkan suruhan agamanya. Jadi adakah ini intipati hak wanita dalam Islam atau perjuangan anda hanya semberono dan poyo?

Sama juga dengan apa yang sedang diusahakan oleh IRF dan terbaru Negara-Ku. Kenyataan yang tidak konsisten dari hari ke hari juga dalam kalangan penggerak Negara-Ku sendiri hanya menambah kecurigaan terhadap agenda sebenar mereka. Apabila tembelang sudah dipecah, maka tidak keruan pimpinan mereka memutarbelitkan kenyataan awal bahawa asalnya mereka mahukan pindaan terhadap perlembagaan kemudian hari seterusnya pimpinan yang lain mengatakan sebaliknya.

Ini hanya bukti kecelaruan perjuangan dan sikap ‘selagi boleh’ mereka  untuk menjayakan agenda melemahkan umat Islam dalam apa cara sekalipun, sama ada ubah perlembagaan atau tidak ubah perlembagaan namun menggunakan ‘soft policy’ bagi mencairkan kedaulatan Islam melalui draf Rang Undang-Undang Harmoni (RUUH).

Apa yang dilakukan ISMA dalam lantang bersuara menentang kelompok liberal, sekular dan plural, bahkan fahaman yang menggugat kedudukan Islam, adalah dengan cara dakwah bil syaukah (kekuatan umat Islam dan kuasa undang-undang). ISMA mengiktiraf dan memanfaatkan Perkara (3) yang seharusnya difahami sebagai warisan berharga dari bapa kemerdekaan untuk umat Islam pada masa akan datang. Tanpanya, Malaysia boleh berubah identiti bahkan pada hari ini perjuangan untuk reformasi, mengubah perlembagaan terutamanya melibatkan kedudukan Islam dan hak orang Melayu sedang giat diusahakan. Mereka selayaknya digelar pengkhianat negara, bukan perwira patriotik Malaysia alaf baru.

Adapun penglibatan kelompok Islamis bersama pakatan-pakatan sedemikian, Surah an-Nisa’ ayat 144 berbunyi:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?”

Lagi, firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 57:
“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan (pemimpin atau ketua) orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejekan dan permainan, daripada ahlil kitab yang sebelum kamu dan (jangan kamu jadikan) orang kafir sebagai ketua dan takutlah kepada Allah, jika kamu sungguh-sungguh orang beriman”.

Dakwah bil hikmah tetap berjalan pada tempat yang betul dalam situasi yang betul. Kita tidak mempunyai prejudis atau dendam kepada orang bukan Islam secara umumnya. Saya juga mempunyai saudara berbangsa Cina yang bertandang pada Hari Raya pertama dan kedatangan mereka kami alu-alukan. Saya menerima pertolongan daripada seorang Makcik berbangsa Cina yang meminjamkan saya troli semasa membeli belah barang-barang untuk beraya. Semasa Ramadhan saya menerima pemberian kurma sebagai juadah berbuka daripada seorang rakan berbangsa Cina.

Namun apakah saya memaki hamun sesuka hati, bertalam dua muka atau menyimpan prasangka buruk? Tidak. Kerana bukan daripada akhlak Islamiyyah untuk kita sentiasa menabur buruk sangka dan membenci setiap orang bukan Islam kerana Islam itu rahmatan lil ‘alamin. Selagi mereka tidak mempersoalkan kedaulatan Islam dan perlembagaan, maka selagi itu hak-hak mereka wajib dipelihara. Menjadi tanggungjawab seorang MusIim juga melindungi hak mereka dan memastikan keadilan untuk semua, tidak ada penindasan atau sikap acuh tidak acuh dalam menjaga kebajikan mereka selagi menepati syarak dalam konteks kenegaraan. Bahkan, menjadi tanggungjawab kita untuk terus menyampaikan Islam kepada mereka.

Namun dalam beberapa situasi dan melibatkan beberapa pakatan, orang bukan Islam tampil dengan beberapa platform, slogan dan agenda yang tersusun, berorganisasi dan mempunyai strategi jangka masa pendek atau panjang bagi mencairkan keperibadian negara dan jati diri umat. Lebih mengecewakan mereka menerima dana asing untuk menyokong kewangan mereka di Malaysia untuk merancakkan usaha memperjuangkan Negara sekular dan melemahkan kedaulatan Islam. Seerah telah membuktikan senario yang sama dan seerah juga mengajar kita tentang bagaimana Nabi berhadapan dengan puak-puak pengkhianat ini; mereka diperangi dan dihalau dari bumi Madinah, negara Islam yang berdaulat.

Tuntutan demi tuntutan dibuat jika bukan untuk dipenuhi, dibuat untuk menguji kekuatan dan kepekaan umat Islam terhadap agenda mereka. Cukup sayang apabila suatu tuntutan yang bercanggah dengan syarak dan perlembagaan diluluskan yang akhirnya menghakis kedaulatan dan syiar Islam di Malaysia. Dengan itu mereka bergembira dan berterusan meminta-minta.

Tidak dinafikan masih ada sistem jahiliyyah dan ketidaksempurnaan syariat dalam negara kita, namun seperti kata pepatah, Rom itu tidak dibina dalam satu hari. Negara dan syiar Islam yang berpusat di Madinah juga mengambil masa yang panjang untuk diperluas sehingga dua pertiga dunia sekalipun Nabi Muhammad telah wafat tatkala Islam dan wilayahnya masih berkembang.

Antara mengingkari ikrar taat setia kepada perlembagaan, negara dan pemerintah Islam, dengan bersama membendung usaha memustahilkan aspirasi bapa kemerdekaan, yang mana lebih menepati prinsip dan maslahat umat? Yang mana sikap dan pendirian yang lebih wajar dan bertanggungjawab? Yang mana satu api dalam sekam dan yang mana satu benih-benih pengharapan?

Cukuplah antara dua Syawal yang menjadi saksi rancaknya tuntutan untuk melemahkan Islam. Semoga Islam terus berdaulat hingga ke Syawal seterusnya dan hingga disempurnakan syariat Islam yang menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan di Malaysia.

Danial Ariff Shaari
Aktivis ISMA
Papar selanjutnya

Satu komen

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close