Komuniti

Kasihnya ibu membawa ke syurga – Dr Madihah Rushaidhi

hari ibu khansa palestin ummu nidal
Detik 11 Mei baru-baru ini disambut dengan meriah oleh segenap lapisan masyarakat bersempena dengan Hari Ibu Sedunia. Ada yang menghadiahkan kuntuman ros mekar buat ibu tercinta, ada yang membawa ibu ke restoran dan tempat peranginan istimewa, tidak kurang dengan yang sekadar menghadiahkan kucupan penuh mesra dan ungkapan kasih sayang. Ada pandangan mengatakan bahawa sambutan Hari Ibu sebenarnya mempunyai rentetan sejarah yang panjang termasuk sejak daripada zaman Yunani lagi, di mana sambutan ini pada asalnya adalah mengagungkan dewi bernama Rhea, yang digelar sebagai ibu segala dewa-dewi (Mother of all Gods/Goddess), begitu juga yang dicatatkan dalam peradaban Romawi yang menyambutnya sebagai penghormatan kepada Magna Mater (Great Mother), iaitu ibu kepada seluruh dewa-dewi. Turut diceritakan, Hari Ibu berasal daripada sambutan di kalangan penganut agama Kristian bagi mengagungkan Ibu kepada Jesus Christ (Mary), yang kemudiannya bertukar kepada sambutan untuk semua ibu.

Pelbagai pandangan di kalangan ulama Islam juga telah dikeluarkan, namun antara yang dapat disimpulkan, sambutan Hari Ibu tidak menjadi satu kesalahan untuk diraikan selagi mana ianya bertujuan untuk memuliakan Ibu, tidak melanggar batasan syarak, tidak hanya disempitkan pada tarikh tertentu dan tidaklah dianggap sebagai satu perayaan di sisi syarak seperti mana Hari Raya Aidilfitri mahu pun Hari Raya Aidiladha. Bahkan, setiap hari sepatutnya menjadi Hari Ibu di sisi umat Islam kerana tingginya jasa dan pengorbanan seorang ibu. Sebaik-baik sambutan Hari Ibu juga dapat diterjemahkan dengan mengadakan sembahyang berjemaah bersama ahli keluarga, menganjurkan tazkirah atau pesanan dan nasihat yang baik terhadap jasa ibu dan mengajar anak-anak agar menghargai ibu dengan membantu meringankan bebanan ibu, khususnya dalam urusan rumah.

Al-Quran telah melakarkan ketinggian jasa dan pengorbanan ibu bagi mengingatkan kita agar sentiasa berbuat baik kepada mereka.

“Dan Kami – Allah – berwasiat kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan – yakni terus -menerus – dan ceraian susuannya dalam dua tahun. Hendaknya engkau bersyukur kepadaKu dan kepada kedua orangtuamu.” (Luqman: 14)

 “Dan Tuhanmu telah menentukan supaya engkau semua jangan menyembah melainkan Dia dan supaya engkau semua berbuat baik kepada kedua orangtua. Dan kalau salah seorang di antara keduanya atau keduanya ada di sisimu sampai usia tua, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya dengan ucapan “cis”, dan jangan pula engkau menggertak keduanya, tetapi ucapkanlah kepada keduanya itu ucapan yang mulia – penuh kehormatan. Dan turunkanlah sayap kerendahan – maksudnya: Rendahkanlah dirimu – terhadap kedua orangtuamu itu dengan kasih-sayang dan katakanlah: “Ya Tuhanku, kasihanilah kedua orang tuaku itu sebagaimana keduanya mengasihi aku di kala aku masih kecil.” (al-lsra’: 23-24)

Allah berfirman, Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah pula…(al-Ahqaf:15)

Satu kisah yang begitu tidak asing lagi turut diperdengarkan kepada kita, apabila seorang sahabat bercerita kepada Rasulullah:

Pernah suatu ketika, Rasulullah didatangi oleh seorang budak yang bertanya, “ibu saya lumpuh lalu semua urusan seperti memandikan dan menyuap makan saya lakukan sepenuhnya. Saya berkhidmat kepada ibu. Adakah perbuatan itu sudah dikira berbakti kepada ibu saya?” Rasulullah bersabda, “Belum walaupun satu peratus tetapi engkau tidak termasuk anak derhaka.”

Dari sudut hak dan kelebihan di antara ibu dan bapa juga, Rasulullah SAW telah menjelaskan ketinggian dan kedudukan seorang ibu ke atas anaknya:

Dari Abu Hurairah r.a. lagi, katanya: “Ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: “Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk saya persahabati dengan sebaik-baiknya – yakni siapakah yang lebih utama untuk dihubungi secara sebaik-baiknya?” Beliau menjawab: “Ibumu.” Ia bertanya lagi: “Lalu siapakah?” Beliau menjawab: “Ibumu.” Orang itu sekali lagi bertanya: “Kemudian siapakah?” Beliau menjawab lagi: “Ibumu.” Orang tadi bertanya pula: “Kemudian siapa lagi.” Beliau menjawab: “Ayahmu.” (Muttafaq ‘alaih)

Dalam riwayat lain disebutkan:

“Ya Rasulullah. Siapakah orang yang lebih berhak untuk dipersahabati – dihubungi – secara sebaik-baiknya?” Beliau menjawab: “Ibumu, lalu ibumu, lalu ibumu, lalu ayahmu, lalu orang yang terdekat denganmu, yang terdekat sekali denganmu.”

Perintah mentaati kedua ibu bapa juga telah dipertegaskan lagi oleh baginda SAW dalam sabdanya yang bermaksud:

‘Redha Allah bergantung kepada redha kedua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa’ (Riwayat Al-Hakim)

Malah, Rasulullah SAW mengajarkan bahawa hak dan penghormatan terhadap seorang ibu itu masih kekal meskipun ibu itu kekal sebagai seorang musyrik (belum beriman kepada Allah SWT):

Dari Asma’ binti Abu Bakar as-Shiddiq radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Ibuku datang ke tempatku sedang dia adalah seorang musyrik di zaman Rasulullah s.a.w. – Iaitu di saat berlangsungnya perjanjian Hudaibiyah antara Nabi s.a.w. dan kaum musyrikin. Kemudian saya meminta fatwa kepada Rasulullah s.a.w., saya berkata: “Ibuku datang padaku dan ia ingin meminta sesuatu, apakah boleh saya hubungi ibuku itu, padahal ia musyrik?” Beliau s.a.w. bersabda: “Ya, hubungilah ibumu.” (Muttafaq ‘alaih).

Daripada dalil-dalil Al-Quran dan hadis yang dipetik di atas, jelas ke atas kita betapa mulia dan tingginya kedudukan seorang ibu, sesuai dengan segala pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan ke atas kita. Tiada siapa mampu menandingi seorang ibu yang telah menahan segala kesakitan, jerih perih sepanjang mengandungkan anaknya selama 9 bulan, kemudian bertarung nyawa untuk melahirkan, seterusnya berkorban masa, tenaga dan perasaan sepanjang menjaga, mendidik dan membesarkan anaknya. Oleh itu, tiada kasih seabadi kasih ibu yang mampu menghantarkan kita ke syurga. Berkat kasih sayang dan cinta seorang ibu, sewajarnya seorang ibu itu dimuliakan, dikasihi dan diberikan penghormatan yang setinggi-tingginya.

Begitu banyak kisah pengorbanan seorang ibu yang boleh kita hayati dan jadikan pengajaran. Namun, seorang ibu bernama Ummu Nidhal ini, begitu luar biasa kisahnya. Ummu Nidhal, yang lebih dikenali dengan gelaran Khansa’ Palestin ini adalah seorang ibu sejati yang tersangat tulen dan luhur kecintaannya kepada Allah dan anak-anaknya sehinggakan dia telah memberikan sesuatu yang tidak semestinya mampu diberikan oleh semua ibu-ibu lain yang turut mencintai anak-anak mereka sepenuh hati. Ibu yang solehah ini telah melahirkan, mendidik dan membentuk anak-anaknya sehingga mereka menjadi pemuda-pemuda yang cintakan Allah serta merindukan syahid. Ibu yang berhati tegar ini begitu cintakan anak-anaknya sehingga dia telah menyerahkan kesemua anak-anaknya untuk berjihad di jalan Allah dan seterusnya memperolehi kedudukan mulia sebagai syuhada’. Ketika anak sulungnya, Muhammad Fathi Farhat baru berusia 6 tahun, Ummu Nidal telah mengatakan kepadanya:

‘Ibu mahu kamu berperang melawan Israel dengan senjata, bukan dengan batu’.

Tanpa sedikit pun rasa ragu, gentar dan bimbang dalam hati seorang ibu ini di saat dia mengibarkan semangat juang di dalam diri anaknya. Apabila ditanya mengapa, jawabnya:

‘Kerana saya yakin apa yang saya ungkapkan itu adalah demi kebaikan untuk anak-anak saya.’

Kata-katanya yang lain yang begitu mengesankan jiwa apabila di wawancara:

‘Anak saya telah syahid. Dia yang akan menolong saya dengan kesyahidannya. Sesiapa yang menyayangi anak-anaknya berikanlah sesuatu yang paling berharga semampunya kepada anakmu. Dan perkara paling berharga yang boleh diberikan ialah syurga’.

Begitulah secebis kisah kasih teragung yang dapat diberikan oleh seorang ibu kepada anaknya. Kisah ini antara ribuan kisah yang seharusnya menerbitkan rasa keinsafan serta kesyukuran di dalam sanubari setiap daripada kita yang bergelar anak. Kasih sejati seorang ibu itu bukan sahaja dapat memandu dan menerangi kehidupan kita di dunia ini, malah membawa kita ke syurga yang abadi. Kerana itu ungkapan yang sering kita dengar menyebutkan ‘syurga itu di telapak kaki ibu’. Terima kasih ibu, di atas segala pengorbanan dan kasih sayangmu. Sebagai balasan, marilah kita berusaha menjadi anak-anak soleh/solehah sehebat putera-putera Ummu Nidhal yang bakal membantunya di akhirat kelak dan menjadi asbab kepada pengurniaan nikmat yang tidak terhingga daripada Allah SWT.

Rujukan:
1)    Al-Quran Kareem
2)    Kitab hadis Riyadussolihin
3)    Aman Palestin Mesir
4)    The History of Mother’s Day (http://legacyproject.org/guides/mdhistory.html)
5)    Panduan Sambutan Hari Ibu – Jabatan Mufti Selangor

Nukilan,

Dr. Madihah Rushaidhi
Timbalan Ketua Wanita ISMA, 
Unit Komunikasi Korporat Biro Wanita,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Johor.

Tags
Papar selanjutnya

Satu komen

  1. Menurut apa yang saya faham sekiranya pemerintah menentukan suatu tarikh bagi anak negeri meraikan ibu dan bapa mereka bukanlah jadi kesalahan dari sisi agama . Cuma terlarang jika merayakan hari tersebut.
    Juga saya faham . Jika seseorang yang terkorban syahid itu Allah kembalikan kedunia ini dan disuruh – ‘sebutlah suatu permintaan apa saja yang engkau kehendaki’ – nescaya mereka meminta untuk mati syahid kali kedua.
    Demikianlah kemuliaan diakhirat yang diperolihinya setelah orang itu mendapat pahala syahid.

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close