Berita UtamaIstimewa

MN sekadar ta’awun politik guna slogan ‘ummah’ sedapkan telinga!

Penubuhan di bawah jangkaan, tak boleh pergi jauh termasuk satukan Melayu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 22 Rejab 1442H, Sabtu – 14 September 2019 menjadi saksi kepada air mata bagi ribuan orang Melayu, yang mengharapkan kewujudan Muafakat Nasional (MN) dapat mengukuhkan semula kesatuan politik bangsa itu.

Gagasan berkenaan adalah manifestasi kerjasama di antara dua parti terbesar negara iaitu UMNO dan PAS, yang kononnya diharapkan dapat membawa perubahan kepada kesatuan politik Melayu di Malaysia.

Namun, setelah lebih setahun diwujudkan, peranan dan fungsi MN seolah-olah tenggelam dek arus politik yang turut sama bergolak sejak Februari tahun lalu.

Bagi Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman, penubuhan MN hanya berada di bawah jangkaan, memandangkan ia tidak memenuhi hasrat seperti mana diharapkan.

“Sejak awal lagi, saya berpandangan Muafakat Nasional ini tidak lebih daripada pakatan politik atau ta’awun semata-mata.

“Sifatnya dilihat tidak akan lebih daripada itu, iaitu untuk menunjukkan bahawa kerjasama (UMNO-PAS) itu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Menurut pemimpin gerakan Islam utama itu, langkah maksimum yang mampu dilakukan oleh gagasan berkenaan, adalah dengan mereka merampas semula lebih 30 kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) di kawasan majoriti Melayu.

“Itu sahaja maksimumnya. Dan saya tidak nampak mereka boleh pergi jauh daripada itu termasuk ke arah penyatuan Melayu.

“Malah, penyatuan ummah, penyatuan Melayu itu hanyalah slogan yang digunakan untuk menyedapkan telinga,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button