Pendapat

Kuasa ketiga Melayu pertahan kedaulatan Islam

KUASA ketiga adalah nama yang diistilahkan kepada gerakan berkecuali dari parti politik dalam memperjuangkan agenda kepentingan sosial termasuk perihal politik.

Penganalisis politik berpandangan bahawa tuntutan kuasa ketiga penting sebagai suara pengimbang yang bebas dan memperjuangkan isu-isu yang merupakan permasalahan sebenar akar umbi masyarakat, yang sering diketepikan mahupun dipolitikkan oleh politik arus perdana.

Gerakan kuasa ketiga dari kalangan gerakan Melayu Islam, yang paling jelas dan menonjol menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan dan ketirisan kerajaan mahupun pembangkang dalam hal-hal berkenaan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.

Ia merupakan satu suara yang sebenarnya sepakat dan bersetuju secara langsung atau tidak langsung pada beberapa dasar asas dalam mempertahankan kedudukan Melayu dan kedaulatan Islam di negara ini.

Isu-isu yang mereka telah nyatakan pendirian antaranya isu murtad, kalimah Allah, arak, rasuah, maksiat dan pelbagai isu yang sensitif pada umat Islam. Bahkan solusi yang mereka kemukakan dilihat lebih hampir kepada suara dan apa yang diperlukan masyarakat Islam di Malaysia. Perjuangan mereka lebih telus dan mendidik berbanding meraih sokongan.

Dalam politik Malaysia hari ini, kuasa ketiga ini juga mampu berperanan sebagai penyemak-dan-imbang kepada kedua pihak kerajaan dan pembangkang yang makin kerap mengambil pendirian liberal dan sama rata berbanding keadilan berteraskan sejarah dan sosiologi negara.

Kuasa ketiga ini dilihat banyak dipandu oleh para NGO, namun sehingga hari ini kuasa ini tidak dipimpin oleh mana-mana individu secara spesifik. Pada pandangan penulis, ia bukanlah semata-mata dijuarai oleh Datuk Dr. Hasan Ali kerana kuasa ketiga ini telah muncul lama sebelum beliau menubuhkan JATI.

Ia juga tidak diketuai oleh Zulkifli Noordin mahupun Datuk Ibrahim Ali atau mana- mana ahli-ahli Parlimen dan ADUN bebas. Bahkan, kalau diperhatikan, seruan kuasa ketiga ini tidak semestinya hanya dilaungkan dari kalangan pihak-pihak non-partisan kerana di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan PKR juga ada yang menggemakan mesej yang sama, yang kadang-kala bertentangan dengan pandangan asal parti masing-masing.

Namun, kuasa ketiga ini mungkin setakat ini tidak terbit dalam bentuk satu parti politik sendiri kerana jelas pengundi-pengundi di Malaysia lebih tertumpu kepada pertembungan kerajaan dan pembangkang. Bahkan bilangan dan tokoh-tokoh kuasa ketiga mungkin tidak berpengaruh sehebat tokoh-tokoh UMNO, mahupun Pas.

Namun, intipati laungan kuasa ketiga ini cukup kuat dan membuka mata dan dijangkakan mampu mempengaruhi para pengundi terutama majoriti senyap agar memilih wakil rakyat secara lebih berobjektif dan bukan atas sentimen parti. Sedangkan jelas semasa PRU-12, dilaporkan ramai ahli-ahli UMNO mengundi pihak pembangkang kerana kecewa dengan prestasi kerajaan pimpinan BN, sebaliknya juga tidak mustahil pada PRU-13 ini, akan ada ahli Pas yang mengundi UMNO sekiranya Pas gagal membawa aspirasi mendaulatkan kesucian Islam.

Kuasa ketiga ini menyeru kepada mempertahankan dan memperkasakan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan terutama yang memihak kepada Melayu dan Islam. Ia juga semestinya mahukan penafsiran perlembagaan yang lebih cenderung kepada keselamatan kedudukan agama Islam. Mereka juga membangkang sebarang bentuk penggadaian atau kompromi baik kecil mahupun besar yang merugikan masyarakat Islam di Malaysia.

Pada masa sama, mereka menolak sebarang bentuk korupsi dan penindasan mana-mana pihak dan menyeru kepada keadilan berteraskan Islam bukan keadilan di sisi humanisme atau liberalisme barat.

Mereka mengajak semua agar menginsafi akan nasib bangsa dan agama yang menjadi warisan bumi bertuah ini. Mempertahankan bangsa dan agama bukan bererti rasis dan pelampau. Bahkan, seruan ini sejajar dalam mempertahankan identiti negara ini sebagai tanah Melayu dan negara Islam. Ia juga amat konstitusional serta bertujuan memperkasakan lagi perlembagaan dalam melindungi identiti bumi ini.

Oleh itu, kerajaan mahupun pembangkang seharusnya mendengar dan mempertimbangkan suara dan seruan kuasa ketiga ini. Bersifat terbukalah dalam menerima kritikan dan teguran. Janganlah hanya kerana mereka perjuangkan Melayu, dikaitkan terus sebagai agen UMNO. Jangan pula apabila mereka laungkan Islam, dikatakan hanya Pas yang layak memimpin isu Islam.

Akhirnya politik dan propaganda terbaik bukanlah untuk menjatuhkan pihak lawan tetapi untuk mempamerkan prinsip-prinsip mulia dan adil serta menawarkan pelan urus tadbir dan pembangunan yang terbaik buat rakyat.

Aizuddin Khalid,
Aktivis ISMA

Papar selanjutnya

3 komen

  1. Saya rasa ISMA perlu mengajak lebih banyak jamaah dan pertubuhan bekerjasama dalam mendaulatkan Islam.Kuasa ketiga ini perlu juga masuh ke kampung2 dan kawasan pendalan untuk memberi penerangan dan melebarkan pengaruh.Gitu jua perlu mempertemu pemimpin2 politik melayu Islam dari masa ke semasa untuk mendekatkan pandangan mereka.Majlis org politik kena buat secara sulit kerana org politik biasanya takut pengaruhnya tejejas.Pertemukan Anwar, Najib, Hadi secara sulit di tempat sulit.

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close