Artikel Khas

Malaysia, Arab Saudi perkukuh kerjasama bidang undang-undang syariah

Hantar lebih ramai imam, hakim untuk latihan pembangunan di universiti di Riyadh

BANGI, 18 Jamadilawal 1445H, Sabtu – Malaysia akan terus memperkukuhkan hubungan dengan Arab Saudi yang sekali gus diyakini mampu memberi manfaat kepada umat Islam di negara ini terutama dalam bidang perundangan syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan Arab Saudi telah menyatakan kesediaan untuk meneruskan kerjasama dengan Malaysia terutama dalam bidang agama dan beberapa program latihan lain melibatkan bidang kehakiman di Mahkamah Syariah.

“Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim telah menyatakan kesudian dan bekerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang agama menerusi program pembangunan latihan dengan menyertai program bagi melatih imam-imam negara kita bagi mendapat bimbingan daripada pihaknya Saudi.

“Begitu juga hakim Mahkamah Syariah dan kita harapkan program yang akan diadakan nanti dapat berjalan  setiap tahun.

“Kesemua mereka yang terlibat akan diberi peluang mendapat latihan di Universiti Ma’had A’ A’li Lil Qada di Riyadh bagi melahirkan hakim Mahkamah Syariah yang lebih profesional,” katanya.

Perkara itu dimaklumkan selepas mengadakan perbincangan yang berlangsung, baru-baru ini.

Beliau menambah dalam pertemuan berkenaan yang berlangsung di kediaman duta tersebut, beberapa perkara lain berhubung pengurusan haji juga telah dibincangkan.

Ia termasuk urusan haji musim depan.

“Insya-Allah (bincang) bagaimana nak cari jalan untuk menambah baik urusan haji akan datang,” katanya.

Beliau juga berharap hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan kekal dan mampu memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button