Berita Utama

Tak bantu menang PRU15, Tun M nekad tinggalkan GTA

Gerakan tak berfungsi dengan baik, gagal tarik pengundi

BANGI, 21 Syawal 1444H, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan sudah meninggalkan Gerakan Tanah Air (GTA) dan tidak lagi memegang sebarang jawatan di dalam gerakan yang diasaskannya itu.

Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, keputusan terbabit dibuat selepas menyedari GTA tidak dapat berfungsi dengan baik, selain gagal menarik sokongan pengundi terutama ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang sebelum ini menjadi Pengerusi Penaja GTA berkata, keputusannya itu juga susulan gerakan terbabit belum didaftarkan sebagai gabungan parti politik dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“(Jawatan Pengerusi GTA) yang itu lama… (kini saya) tidak ada (sebarang jawatan), GTA tidak jadi, tidak membantu kita (untuk menang pilihan raya), kerana ia (berbentuk) parti.

“Kita dapati kalau (bergerak) sebagai parti, kita tidak boleh menang, kita sudah lawan dalam PRU15, GTA dan Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) kalah 125 kerusi (yang ditandingi),” katanya seperti dilapor media tempatan.

GTA ditubuhkan sebelum PRU15 membabitkan kerjasama empat parti komponen utama iaitu Pejuang, BERJASA, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Ikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Selain empat parti itu, gerakan berkenaan turut dianggotai barisan NGO Melayu-Islam dan individu perseorangan seperti Gagasan Bangsa.

Bagaimanapun, pada Januari lalu, Pejuang mengumumkan menarik diri daripada GTA, bagi memberikan tumpuan kepada usaha pengkuhan parti sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.

Pada Februari, Dr Mahathir pula mengumumkan untuk keluar dari Pejuang bersama 12 lagi ahli lain dan menyertai Putra, susulan kecewa dengan tindakan partinya itu memutuskan hubungan dengan GTA.

Malah, ketika pengumuman itu, Dr Mahathir merancang untuk mengukuhkan GTA dan menerima sesiapa sahaja yang bersih serta mempunyai ideologi sama untuk berjuang demi bangsa, agama dan negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button