Dunia

Peneroka haram Israel bunuh 60 rakyat Palestin sejak awal 2023

Remaja Palestin, Ddiyar al Omari ditembak mati ketika bergelut dengan pengganas Israel

TEBING BARAT, 18 Syawal 1444H, Selasa – Peneroka haram Israel, yang disokong oleh kerajaan Benjamin Netanyahu, membunuh 60 rakyat Palestin di Israel sejak awal 2023.

Mangsa terakhir warga Palestin dalam serangan peneroka Israel ialah Ddiyar Al Omari, 21, yang dibunuh di kampung Sandala di Marj Ibn Amer, utara Israel.

Pembunuh tersebut dikenal pasti sebagai Dennis Pukin, 32, yang berasal dari penempatan haram Yahudi Gan Ner, utara Israel.

Akhbar Yedioth Ahronoth melaporkan bahawa polis Israel menahan Pukin, yang merupakan seorang askar dalam Briged Golani elit, dan membuka siasatan ke atas kejadian itu.

Sebuah video kejadian itu tular di media sosial menunjukkan Pukin terlibat dalam pergelutan secara fizikal dengan Al Omari, disusuli oleh tindakan peneroka haram tersebut menarik pistolnya serta melepaskan beberapa das tembakan ke arah pemuda Palestin itu ketika dia kembali ke keretanya.

“Keluarga Al Omari berkabung di Sandala dan di seluruh Palestin, di dalam tanah air dan di luar negara, kepada rakyat Palestin kita, syahid muda Diyar Al Omari, yang ditembak mati oleh seorang peneroka pengganas Israel dengan darah dingin,” kata keluarga Al Omari dalam satu kenyataan.

Beratus-ratus rakyat Palestin melakukan protes berhampiran penempatan Israel dengan mengutuk pembunuhan Al Omari, yang mereka gelar sebagai ‘eksekusi berdarah dingin,’ tetapi tentera Israel bertindak keras terhadap penunjuk perasaan tersebut.

Jawatankuasa Kebebasan untuk Orang Arab di Israel berkata, kerajaan Israel mengambil keputusan strategik untuk menumpahkan darah rakyat Palestin hanya kerana mereka adalah orang Arab Palestin, terutamanya selepas mereka memberi keizinan kepada penduduk haramnya untuk mengangkat senjata dengan alasan pertahanan diri. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button