Sisters gempur gelanggang bola keranjang di Sports Day
Adelaide, 14 April – Sister’s Sports Day yang dianjurkan oleh Biro Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan (SuReBud) ISMA-South Australia telah berlangsung dengan jayanya. Sambutan yang amat menggalakkan dipamerkan dengan dihadiri oleh kira-kira 50 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar juniors, seniors dan golongan yang sudah bekerja. Acara tahunan ISMA-SA ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan ukhuwwah antara ISMA dan golongan pelajar Malaysia yang menuntut di Adelaide, Australia di samping mencungkil bakat-bakat terpendam dalam diri pelajar. Acara yang dipertandingkan pada tahun ini ialah bola keranjang.
Bertempat di Campbelltown Leisure Centre, Campbelltown, acara bermula dengan warming-up yang dikendalikan oleh AJK SuReBud diikuti dengan taklimat ringkas mengenai perjalanan program pada hari tersebut oleh Pengarah Program, Nur Fauziana Abu Bakar. Pertandingan yang dikendalikan secara liga ini disertai oleh lima buah kumpulan iaitu Slam Darling, Buzzer Beat, Bai, Ayam Penyet dan Cheek A Boom. Turut menyertai pertandingan ini ialah Ketua Wanita ISMA-SA, Dr. Farah Nadia Najib.
Suasana yang cukup meriah berjaya diwujudkan antara kelima-lima kumpulan melalui sorak-sorai oleh ahli kumpulan dan penyokong yang hadir. Kesemua pemain menunjukkan kesungguhan bermain seolah-olah seperti seekor harimau lapar yang mencari mangsanya. Tambahan pula, gelanggang bola keranjang yang serba lengkap seperti adanya scoreboard yang memaparkan jaringan mata bagi setiap perlawanan melancarkan perjalanan program. Selain itu, Unit Ekonomi ISMA-SA juga tidak melepaskan peluang untuk menjana pendapatan melalui jualan nasi ayam dan mee goreng pada hari tersebut.
Timbalan Biro Kebajikan dan Akademik ISMA-SA (BIJAK), Siti Aisyah Sulaiman yang bertindak selaku pengadil pertandingan berkata, kejohanan ini dilangsungkan secara santai dan tidak terlalu mengikut format pertandingan yang sebenar bagi mewujudkan suasana yang lebih mesra peserta. Walau bagaimanapun, keselamatan dan kebajikan peserta tetap diutamakan.
Pertandingan berakhir kira-kira jam 3.15 petang dan gelaran juara telah berjaya disandang oleh pasukan Ayam Penyet diikuti tempat kedua oleh pasukan Cheek A Boom dan tempat ketiga oleh pasukan Bai. Hadiah pasukan sorak terbaik diberikan pada pasukan Buzzer Beat lantaran sorak mereka yang cukup bersemangat sehingga kadang-kadang menenggelamkan bunyi wisel oleh pengadil. Pemain terbaik pula dirangkul oleh Saudari Nur Adila dari pasukan Ayam Penyet yang bertindak selaku peneraju dalam mengemudi rentak permainan. Program bersurai kira-kira pukul 3.30 petang.
Pihak ISMA-SA mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada peserta-peserta yang telah melibatkan diri dalam pertandingan ini dan tidak ketinggalan juga kepada pihak penganjur, Biro SuReBud ISMA-SA. Kami berharap acara-acara seperti ini dapat dilakukan lagi pada masa akan datang demi melahirkan generasi harapan yang sihat tubuh badan, cerdas pemikiran dan berhemah tinggi.
Sumber: Laman Web ISMA Australia



