|

ISMA sokong kenyataan Datuk Nik Aziz mahu PAS, UMNO berbincang

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyokong kuat dan amat mengalu-alukan kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS, yang mahukan PAS dan UMNO duduk berbincang mengenai isu-isu berkaitan Islam dan Melayu serta menamatkan pertengkaran yang berlanjutan selama 50 tahun yang tidak membawa apa-apa faedah.

Ini amat bersesuaian dengan peringatan Allah dalam surah al-Anfal, ayat ke 46: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”

ISMA berharap kenyataan positif Menteri Besar Kelantan itu boleh menjadi batu tanda perubahan ke arah pengamalan politik kepartian Melayu yang lebih sihat dan mengutamakan kepentingan umat mengatasi segala kepentingan lain. Sehubungan itu, ISMA menyeru semua pihak yang berkenaan agar dapat menyambut kenyataan itu dengan tindakan-tindakan yang praktikal serta tidak sekali-kali membiarkannya dipolitikkan.

Datuk Nik Aziz mengemukakan cadangan agar PAS dan UMNO duduk semeja berbincang atas kepentingan Islam selepas menyempurnakan majlis penutup Seminar Pemikiran Islam Semasa – Pemakaian Kalimah Allah di Kota Bharu semalam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau rasa amat gembira jika perbincangan yang dicadangkan itu menjadi kenyataan, sekaligus menamatkan persengketaan lebih 50 tahun antara kedua-dua parti dokongan orang Melayu itu. Menurut beliau, jika majlis perbincangan antara pemimpin berlainan agama boleh dilangsungkan dengan baik, maka seharusnya tiada masalah untuk PAS dan UMNO – yang sama- sama Islam – untuk duduk berbincang.

3 Komen untuk entri “ISMA sokong kenyataan Datuk Nik Aziz mahu PAS, UMNO berbincang”

  1. el-ghariib says:

    Pasca Kobanna. Allahumma wahid sufufana.

  2. man says:

    ya ALLAH kabulkan laah..

  3. Qalam Mujahid says:

    InsyaAllah, kita bakal menyaksikan kesatuan ummah dibina dan dicapai.
    Ini signal baik, moga ia dituruti pula dgn aksi yg sepatutnya.
    Kita sama2 muslim, ketidakfahaman boleh diubati dgn memberi kefahaman.
    perbezaan pendapat boleh ditoleransikan selagimana ia kena pada syarak.
    Sejarah lama boleh kita jadikan iktibar. Masakan masyarakat Jahiliah boleh ditransform kpd umat terbaik. Maka kesalahan2 lalu atas sifat tamak, penting diri dan kejahilan boleh kita tinggalkan dan mara menuju redha Allah bersama-sama. InsyaAllah.
    Gembira atas berita ini. Alhamdulillah. Tetapkan kami pada jalanMu. Ya Allah

Tinggalkan Balasan