|

Presiden ISMA kupas isu-isu liberalisme dan sekularisme

JOHOR BAHRU, 21 Feb. – Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman akan tampil dalam Wacana Kefahaman Islam pada Jumaat ini yang akan mengupas isu-isu liberalisme dan sekularisme di dalam masyarakat.

Menurut Ketua Biro Dakwah & Sosial ISMA Johor, Cikgu Ismail Ali, wacana anjuran Biro Dakwah & Sosial ISMA Cawangan Johor ini merupakan salah satu program siri jelajah ceramah umum bulanan di peringkat cawangan.

“Program ini diadakan bertujuan untuk membangkitkan kesedaran umat Islam terutama umat Melayu Muslim supaya bersatu dalam menghadapi segala permasalahan yang timbul di dalam masyarakat,” kata beliau lagi.

Program yang turut dianjurkan bersama oleh Masjid Al-Jawahir, Taman Mutiara Rini ini juga merupakan program lanjutan kerjasama antara pihak ISMA Johor serta pihak masjid dan merupakan program perintis kepada projek Kempen Selamatkan Ummah.

Justeru itu, Cikgu Ismail mengajak umat Islam khususnya mereka yang tinggal di kawasan berhampiran untuk hadir beramai-ramai ke program ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang isu-isu yang akan dikupas.