Perjuangan pertahan bangsa lumrah semulajadi
BANGI, 3 Feb. – Perjuangan satu-satu umat mempertahankan nasib bangsa mereka merupakan satu lumrah yang semulajadi, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.
“Perkara ini tidak pernah dinafikan oleh Al-Quran dan Hadith, tapi hari ini kefahaman kita telah diracuni bahawa bila sebut Melayu, maka ia rasis dan assabiyah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Roadshow Masa Depan Politik Malaysia di sini.
Ustaz Abdullah menyatakan bahawa assabiyah yang dilarang oleh Islam ialah assabiyah dengan mafhum fanatisme yang bukan sahaja berasaskan kepada kaum tetapi juga melibatkan puak, parti dan seumpamanya.
Menurut beliau, semua kaum di atas dunia ini sejak dari zaman dahulu lagi berjuang untuk kepentingan bangsa mereka.
“Bacalah apa yang dicatakan di dalam buku sejarah di mana semua bangsa berjuang untuk kepentingan dan survival masa depan masing-masing dan itulah juga yang sedang berlaku sekarang,” katanya.
Beliau turut mengulas realiti yang berlaku pada hari ini di mana bangsa lain seperti Cina dan India berjuang mempertahankan nasib bangsa mereka.
“Orang Cina sama ada MCA, Gerakan dan parti Cina lain semua berjuang demi bangsa mereka dan mereka bersepakat mempertahankan bangsa mereka.
“Begitu juga orang India, tapi bila kita kata orang Melayu kena memperjuangkan nasib bangsanya, ada sesetengah pihak kata tak boleh, rasis dan sebagainya,” ujar Ustaz Abdullah.
Menurut beliau, keadaan ini telah menyebabkan hak bangsa Melayu seperti tercatat di dalam perlembagaan Malaysia mulai dipertikaikan hingga orang Melayu dan umat Islam berada di dalam keadaan yang sangat-sangat teruk dan tertekan.

