MABIT warnakan kehidupan masyarakat Kemaman
CHUKAI, 24 Februari – Malam Bina Iman dan Takwa (MABIT) peringkat daerah Kemaman anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bagi menyerikan lagi program kerohanian masyarakat telah diadakan dengan jayanya di sini pagi tadi.
Program bulanan MABIT yang merupakan sebahagian daripada program tarbiyah berkala anjuran ISMA cawangan Kemaman ini dilihat berpotensi besar dalam menyokong pembangunan iman dan takwa khususnya masyarakat di Kemaman.
Program percuma yang diadakan di Masjid Kampung Paya Berenjut di sini telah diisi dengan aktiviti qiamullail, ‘itikaf, tazkirah kerohanian, zikir dan diakhiri dengan riadah pada waktu pagi di Pantai Teluk Mak Nik.
“Hari ini kita lihat stesen minyak dan kedai-kedai dibuka 24 jam, tetapi tidak di masjid. Oleh itu, program MABIT dilihat berpotensi besar untuk menghidupkan aktiviti di masjid secara berterusan”, ujar Ahmad Rafiuddin, salah seorang peserta program.
Kongsi Raja Muhd Shamsuri pula, “Program sebegini memang seronok untuk diikuti terutamanya semasa riadah pagi apabila sukan bola tampar pantai diadakan dengan penuh keriangan dan semangat kesukanan namun masih menepati kehendak syari’at”.
Selain itu, tekad salah seorang peserta, Ustaz Johari, “Insya Allah saya akan sentiasa menyertai MABIT bulanan ini kerana selain aktiviti kerohanian pada waktu malamnya, waktu pagi diisi dengan aktiviti fizikal yang merapatkan ukhuwah di kalangan peserta MABIT ini.”
Pada masa yang sama di tempat yang berasingan, MABIT juga mendapat penyertaan peserta wanita dan telah diadakan di rumah yang sesuai dengan kapasiti jumlah penyertaan dengan rangka pengisian kerohanian yang sama.
MABIT merupakan salah satu daripada program berkala inisiatif Biro Tarbiyah ISMA Kemaman sebagai salah satu jalan tarbiyah untuk memandu dan membentuk masyarakat Islam wasatiyah yang dikehendaki oleh Islam khususnya di Kemaman.


