Kekuatan ummah lahir melalui amal berterusan
BANGI, 16 Februari – “Pembinaan kekuatan ummah lahir melalui amal berterusan hasil daripada kefahaman dan keyakinan”, tegas Ustaz Annuar Salleh, Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah dalam satu siri kuliah dan pengajian ilmu mingguan, Taffaqquh fid-Deen yang bertajuk Membina Kekuatan Ummah bertempat di Surau Al-Islah, Taman Kajang Mewah, semalam.
Menurut Ustaz Annuar, kekuatan ummah bermula apabila setiap individu mampu meningkatkan amal Islami yang terlahir melalui kewujudan keimanan hasil daripada kefahaman tentang Islam.
Amal Islami ialah pekerjaan yang dilakukan untuk merubah generasi manusia daripada hidup tanpa matlamat kepada mempunyai matlamat dan melahirkan generasi pembawa risalah nabi, katanya.
“Dunia tidak akan mengalami kiamat selagi syariat Islam yang diturunkan kepada manusia belum sepenuhnya memerintah dunia,” jelasnya.
Ustaz Annuar menyeru hadirin yang hadir supaya menanam dalam diri matlamat untuk menjadikan dunia ini mengikut ajaran Islam hingga mencapai ustaziyatul alam.
Beliau mengajak umat Islam untuk kembali kepada hikmah dan mukjizat daripada Al-Quran dalam menghadapi bangsa yahudi yang merupakan cabaran umat Islam akhir zaman ini.
“Jahiliyyah yang terancang akan mengalahkan kebaikan yang tidak dirancang.
“Oleh itu, sebagai umat Islam kita mestilah faham sejarah dan realiti hari ini bahawa musuh telah merancang agenda yang sangat baik untuk menjatuhkan kita,” tegasnya lagi.
Beliau juga menyeru jemaah yang hadir dalam kuliah bersiri ini supaya mempunyai hidup beragenda kerana ia merupakan kekuatan Islam.
Akhir sekali, Ustaz Annuar mengingatkan kepada jamaah yang hadir untuk sama-sama menambah, memahami dan mengamalkan ilmu Islam dengan betul supaya Allah mudah memberi kemenangan kepada Islam.


