|

I-Medik berhasrat pelopori agenda perubatan Islam

JOHOR BAHRU, 12 Feb. – I-Medik berhasrat menjadi organisasi teras bagi membangunkan tamadun perubatan Islam di Malaysia dan mempelopori agenda perubatan Islam berasaskan pembinaan jatidiri, pendidikan, penyelidikan dan aktiviti kemanusiaan, kata Dr Azmir Shaari.

Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslimin Malaysia (I-Medik) Johor itu berkata demikian ketika dihubungi wartawan Media ISMA berkenaan dengan penganjuran satu program khidmat masyarakat berbentuk pemeriksaan kesihatan sempena Karnival Maulidur Rasul yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Masjid Al-Jawahir, Taman Mutiara Rini di sini hari ini.

“Program khidmat masyarakat ini telah dirancang bagi mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan dengan memberikan khidmat kesihatan secara percuma kepada masyarakat.

“Semoga program-program yang dijalankan bermanfaat kepada seluruh masyarakat dan diharap program-program sebegini dapat diadakan dengan lebih kerap lagi tempat-tempat lain,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, setakat ini I-Medik Johor telah berjaya memberikan penerangan mengenai kerjaya perubatan di samping memberi semangat dan motivasi kepada pelajar di beberapa sekolah berasrama penuh dan kolej perubatan yang terpilih supaya berjaya di dalam kehidupan, dunia dan akhirat.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan anjuran I-Medik dan ISMA Johor yang dijalankan secara percuma ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari para hadirin yang hadir dari sekitar Taman Mutiara Rini dan kawasan sekitarnya.

Lebih dari 50 individu telah menerima pemeriksaan kesihatan dan khidmat kaunseling yang disediakan sepanjang dua jam khidmat tersebut disediakan.

Melalui program ini juga, pemeriksaan saringan asas telah disediakan termasuklah pemeriksaan indeks tubuh badan dan tekanan darah yang dikelolakan oleh para pelajar perubatan dan sukarelawan I-Medik.

Para hadirin juga berpeluang untuk mendapat khidmat kaunseling ‘one-to-one’ dari doktor-doktor bertauliah secara percuma.

I-Medik Johor mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat semua individu yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.