|

Remaja kini perlu bangkit membela Islam

ULU TIRAM – Golongan muda khususnya remaja Melayu Islam perlu bangkit agar dapat menjadi bangsa yang hebat kerana merekalah penentu masa depan Islam di bumi Malaysia ini, tegas Tuan Hj Mohd Tahir Hamdan.

Yang Di-Pertua ISMA Cawangan Johor itu berkata demikian ketika memberi ucapan perasmian penutup Jambori Remaja Muslim (JIRIM) peringkat negeri Johor anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Johor baru-baru ini.

Beliau melahirkan kebimbangan dengan apa yang bakal dihadapi oleh golongan remaja kerana banyaknya masalah sosial dan salah laku yang sering berlaku akhir-akhir ini.

Tuan Hj Mohd Tahir juga membuat perbandingan di antara remaja hari ini dengan remaja dahulu bahawa terdapat jurang yang amat besar di antara keduanya.

Beliau mengambil contoh ikutan dari kalangan sahabat Nabi saw yang masih muda remaja iaitu Usamah bin Zaid yang telah dapat memimpin dan menjadi ketua perang pada usia 18 tahun dengan tenteranya terdiri daripada sahabat-sahabat Nabi yang hebat seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab dan Khalid Al Walid.

“Justeru itu, kewujudan KRIM ketika suasana masyarakat diancam oleh ideologi Barat yang merosakkan amat bertepatan dalam memberi wadah yang terbaik bagi golongan remaja agar mereka dapat dibentuk dengan cara yang betul mengikut syariat Islam,” katanya di hadapan para ibu bapa dan 75 orang peserta.

Dalam masa yang sama beliau berharap agar ibu bapa bersama-sama menyokong penglibatan remaja dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah yang dianjurkan oleh KRIM, juga dari NAZIM dan PEMBINA yang merupakan wadah terbaik khusus diwujudkan di bawah ISMA untuk setiap lapisan umur anak-anak.

Menurutnya, usaha ini juga tidak berhenti setelah tamatnya program malah proses pemantauan terhadap para peserta akan tetap berterusan demi mewujudkan Generasi Rabbani yang berkualiti.

Beberapa orang peserta ketika ditemui memberikan respon yang positif terhadap program ini.

Peserta Lelaki Terbaik JIRIM Johor 2011, Mohd Mahdi Nordin, berasa seronok dan mendapat banyak pengajaran yang berguna melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Sementara itu pula, Peserta Terbaik Perempuan, Nur Syazwani bt Md Yusof mengharapkan agar akhlak, sahsiah dan jatidiri para peserta dapat berubah kepada lebih baik selepas mengikuti program ini.

Saudara Noranizan Abu, selaku pengarah JIRIM Johor juga ketika ditemui, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelaksana program dan para peserta atas komitmen yang diberikan dan berharap agar dapat bersama-sama lagi di program yang akan datang.

JIRIM Johor yang membawa tema Transformasi Generasi Rabbani (Transformasi Gen-R) ini diadakan khas untuk para remaja sekitar Johor dan  telah berlangsung pada 23 – 25 Disember 2011 dengan sajian pelbagai aktiviti indoor dan aktiviti outdoor seperti abseiling, jungle trekking, war games dan lain-lain yang mencabar dan menguji kesungguhan para peserta.

Program yang dianjurkan pada setiap tahun ini adalah sebagai salah satu wadah untuk membawa remaja kepada kefahaman tentang Islam dan penerapan ilmu Islam dalam membentuk peribadi yang bermotivasi tinggi, jati diri yang unggul dan beriltizam demi menghadapi cabaran-cabaran yang dihadapi remaja pada masa kini.

Sumber: Laman Web ISMA Johor