Remaja aset penting bagi negara
JOHOR BAHRU, 15 Januari – Remaja merupakan aset penting bagi negara, kerana jatuh bangunnya negara ini ditentukan oleh remaja pada hari ini, tegas Cikgu Ismail Ali.
“Remaja-remaja juga diibaratkan sebagai biji benih yang ditanam dan tanaman ini perlu dibela, dibaja serta dilindungi daripada sebarang kerosakan agar tumbuhan ini hidup subur, berbuah dan dapat dimanfaatkan,” kata beliau lagi.
Penasihat Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Cawangan Johor itu berkata demikian ketika ditemui di program Briged KRIM yang diadakan untuk para remaja sekitar Johor Bahru, Pontian dan Batu Pahat.
Briged KRIM ini merupakan satu pakej pembangunan jati diri yang memfokuskan kearah pembangunan dan peningkatan kemahiran insaniah, pembangunan diri dan kerjaya, aktiviti luar dan sukarelawan serta pembangunan spiritual dan kerohanian.
Untuk mencapai hasrat tersebut, KRIM Johor telah menganjurkan satu siri jelajah ke Batu Pahat dan Johor Bahru serta telah mengumpulkan seramai 60 remaja Muslim bagi menubuhkan Briged KRIM ini di negeri Johor.
Antara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah ice-breaking, outdoor di Pantai Punggur, Bengkel Belajar Power dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti menarik.
Untuk sebarang pemakluman mengenai aktiviti-aktiviti KRIM di Johor, hubungi Cikgu Ismail Ali di talian 019-7533161 atau layari website KRIM Johor di krim.ismajohor.com.
Sumber: Laman Web ISMA Johor


