PAS kehilangan seorang pemimpin berwibawa
BANGI, 13 Januari - PAS telah kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa dalam memperjuangkan agama Islam, orang Melayu dan martabat institusi raja, kata Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu pemecatan Datuk Dr Hasan Ali daripada PAS baru-baru ini.
“PAS telah kehilangan seorang tokoh yang bagi saya masih segar, bertenaga dan berwibawa, yang boleh dimanfaatkan di dalam perjuangan mereka.
“Dalam krisis ini Hasan Ali bukanlah tidak jujur dengan perjuangan PAS, bahkan beliau sendiri mengatakan pendirian yang diperjuangkannya itu adalah dasar perjuangan asal parti tersebut.”
Menurut Ustaz Abdullah Zaik, pimpinan PAS perlu membuat kenyataan yang jelas berhubung isu pemecatan Hasan Ali atas alasan beliau telah menyalahi dan merosakkan kepentingan parti.
“PAS perlu menjelaskan keadaan sebenar kepada masyarakat apa kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh Hasan Ali sehingga dipecat supaya kenyataan itu mampu menjawab segala persoalan yang ada di dalam pemikiran masyarakat,” ujarnya.
Meskipun sudah dipecat, Hasan Ali membuat kenyataan bahawa beliau tidak akan berhenti dari perjuangannya untuk mempertahankan hak orang Melayu dan umat Islam.
Ustaz Abdullah Zaik juga berpendapat PAS perlu mengubah pemikiran dan menghakis ‘mitos’, di mana jika PAS atau mana-mana pihak berhubung dengan UMNO, ia ibarat dosa yang telah dilakukan sehingga perlu dihukum.
Beliau turut mengulas tentang kenyataan yang dibuat oleh bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad yang menyatakan PAS seperti ‘remote control’ di mana parti tersebut sedang diperalatkan oleh kepentingan parti-parti yang lain.
“Saya tak nak gunakan perkataan ‘diperalat’, tetapi PAS harus menjaga sistem supaya tidak ditembusi oleh pengaruh-pengaruh dari parti lain. ”
Menurut Ustaz Abdullah Zaik, pemecatan Hasan Ali dilihat adalah kesan daripada tekanan yang dibuat oleh DAP dan PKR terhadap PAS apabila Hasan Ali tegar di dalam perjuangan mempertahankan orang Melayu dan Islam serta tidak menyokong perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 baru-baru ini.

