Kempen 901: Perjuangan demokrasi atau kepentingan individu?
BANGI, 3 Januari – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman mempersoalkan samada perhimpunan ‘Kempen Bebaskan Anwar 901’ berpaksikan perjuangan demokrasi sebenar atau lebih menjurus ke arah perjuangan individu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang usaha pihak tertentu untuk menganjurkan perhimpunan ‘Kempen Bebaskan Anwar 901’ yang menimbulkan spekulasi daripada banyak pihak.
Menurutnya, perhimpunan yang bakal diadakan ini memperlihatkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti sudah dijatuhi hukuman bersalah secara terang-terangan berhubung kes liwatnya sehingga perlu dilancarkan kempen tersebut walaupun ia belum diputuskan.
Ustaz Abdullah Zaik menyatakan bahawa PKR perlu dilihat konsisten dalam perjuangan rakyat demi menjaga kepentingan umum dan bukannya kepentingan individu semata-mata.
“Kempen Bebaskan Anwar 901 ini sekaligus menjadikan ‘sistem kehakiman’ sebagai sasaran dalam percaturan politik dan ini adalah suatu perkara yang berbahaya, kerana kemaslahatan hidup masyarakat kini akan menjadi haru biru jika institusi kemasyarakatan yang terpenting itu diragui kewibawaannya,” ujar beliau.
Malah kempen tersebut turut dianggap cuba mempengaruhi keputusan mahkamah dan kini bercanggah dengan dasar demokratik yang telus.
Justeru itu katanya, ISMA menyarankan agar perhimpunan ‘Kempen Bebaskan Anwar 901’ itu dibatalkan dan keputusan mahkamah yang akan dibuat tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak berhubung kes berkenaan.

