|

Huffaz Cilik didik akhlak anak

SENAWANG - Kebimbangan terhadap golongan muda yang sering dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial mendorong Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menganjurkan program Huffaz Cilik di Surau An-Nadhoh Taman Melor Senawang dan Masjid Taman Panchor Jaya baru-baru ini.

Seramai 150 kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun menyertai program itu yang bertujuan menerapkan pendidikan Islam di kalangan anak muda.

Penyelaras program, Norshimah Jantan berkata, program itu dibuat dengan kerjasama ahli jawatankuasa kedua-dua masjid berkenaan.

“Saya tidak sangka program julung kali ini mendapat sambutan baik hingga terpaksa mengehadkan penyertaan bagi memastikan bilangan peserta sesuai membantu mereka menimba ilmu sepanjang program itu,” katanya.

Antara aktiviti sepanjang program itu ialah hafazan, solat sunat, zikir, hafalan surah lazim dan tayangan video mengenai sejarah Islam dan Rasulullah SAW.

Norshimah berkata, ISMA berharap menerusi program keagamaan dapat membantu kanak-kanak membina akhlak yang baik, dan pada masa sama, memastikan mereka tidak terjebak dalam kegiatan tidak sihat.

Sumber: Berita Harian, 26 Januari 2012