|

Himpun sasar 4,000 di Seremban

SEREMBAN – Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (Himpun), menjangka lebih 4,000 menghadiri perhimpunan ketiga di Stadium Tertutup Paroi, di sini, Sabtu ini.

Setiausaha Agung Himpun, Aminu­ddin Yahaya berkata, Negeri Sembilan dipilih selepas Selangor dan Perak dalam siri Jelajah Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah.

“Pemilihan negeri ini tidak berunsur politik, tetapi lebih kepada kesanggupan jawatankuasa negeri menganjurkan perhimpunan ini,” katanya.

Menurutnya, mengikut rekod sepanjang 10 tahun, Negeri Sembilan mencatatkan 183 kes permohonan murtad.

“Sebanyak 38 kes diluluskan dan selebihnya menanti keputusan mahkamah.

“Kita tidak mahu perkara sebegini menjadi lebih teruk dan sebelum ianya berleluasa lebih baik kita mencegahnya,” katanya di sini, semalam.

Aminuddin berkata, pihaknya dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tidak mahu melihat umat Islam terpengaruh dengan budaya negatif.

“Misi kita menentang usaha mengkristiankan umat Islam dapat dicapai dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, antara pengisian perhimpunan Sabtu ini, adalah berselawat, persembahan nasyid serta ceramah mengenai akidah umat Islam yang perlu dipelihara oleh beberapa penceramah jemputan, antaranya Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Sumber: Sinar Harian, 1 Januari 2012