FB terdedah aktiviti murtad?
Sebahagian hadirin yang memenuhi Stadium Tertutup Paroi
SEREMBAN, 7 Jan. - Kajian yang dilakukan oleh Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) mendapati golongan remaja wanita beragama Islam berusia 20-an yang melayari laman sosial Facebook antara mereka terdedah dengan aktiviti murtad.
Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, trend terbaru itu cukup membimbangkan memandangkan mereka seringkali menggunakan laman sosial berkenaan untuk berkenalan dengan rakan-rakan lain.
”Bermula dengan perkenalan selepas itu mahu berjumpa dan kemudiannya jatuh cinta. Ketika bercinta apa sahaja mereka sanggup lakukan termasuklah keluar daripada agama Islam. Melalui kajian yang kita lakukan ini kebanyakan yang terlibat adalah golongan remaja wanita.
”Malah berdasarkan maklumat daripada mereka yang terlibat, mereka sudah dibaptis dan mengikut upacara keagamaan.
”Bagaimanapun mereka berjaya kita selamatkan melalui beberapa bantuan yang diberikan oleh badan bukan kerajaan. Kesemua bukti ini kita perolehi daripada mereka yang terlibat dan bukannya daripada apa yang kita perkatakan” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Peringkat Negeri Sembilan di Stadium Tertutup Paroi dekat sini hari ini.
Antara tetamu yang menyampaikan ucapan pada perhimpunan tersebut ialah Pengerusi HIMPUN, Mohd. Azmi Abd. Hamid; Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abd. Rahman; bekas Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Murtadza Ahmad; Pengerusi Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan, Muhamad Adnan Abdullah dan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.
Pada sidang akhbar itu juga Mohd. Azmi memberitahu, berdasarkan penyelidikan yang dilakukan oleh pihaknya mendapati golongan mualaf turut terdedah dengan ancaman murtad.
”Apa yang kita dimaklumkan golongan saudara baru (mualaf) juga terlibat dalam kes murtad. Setakat ini kita belum mengemaskini data berkenaan dan kita akan dedahkan kemudian, tetapi perkara itu memang wujud,” katanya.
Pada masa yang sama, Mohd. Azmi turut menegaskan HIMPUN akan terus komited bagi membangkitkan kesedaran kepada umat Islam mengenai gejala murtad.
Dalam pada itu beliau berkata, siri Jelajah HIMPUN akan diteruskan ke Pulau Pinang pada 28 Januari ini.
* Dipetik dengan pengubahsuaian dari Utusan Malaysia, 8 Januari 2012.



[...] : ISMA Pusat CommentsPowered by Facebook Comments [...]