|

Ajak orang kepada Islam bukti kebanggaan pada agama

BANGI, 12 Januari - “Seorang muslim yang tidak berbangga dengan Islam bukanlah muslim yang sebenar dan jika benar kamu bangga, ajaklah orang lain pula kepada Islam,” tegas Dr. Abd Rahman dalam satu perkongsian bertajuk “Hidup dan dakwah untuk Islam” semalam.

Beliau menjelaskan bahawa Allah SWT membantu orang yang berdakwah kerana mereka adalah golongan terbaik, yang akan menjadi saksi kepada yang lain di akhirat kelak, dan menerima pahala tanpa henti walaupun setelah meninggal dunia.

Progam ini dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Daerah Hulu Langat (DHL) bertempat di Danau, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Menurut Dr. Abd Rahman yang kini bertugas sebagai seorang doktor iridiologi di Hospital King Fahd di Madinah, ramai manusia akan mengecam kita di akhirat kelak kerana tidak menyebarkan Islam.

Tambahnya lagi, dakwah perlu dilakukan setiap masa, setiap tempat, dan pada mana-mana peringkat pengetahuan.

Beliau juga menasihatkan hadirin agar jangan menganggap yang lain samada orang Islam sendiri atau bukan Islam seperti musuh.

“Jika takut berkomunikasi, amalkan selalu. Jika kurang pengetahuan, bukan halangan. Jika sibuk, urus masa dengan baik. Jika tiada duit, beri masa dan tenaga.

“Cintakan manusia, berani, mulakan dengan hidup bersama mereka sebelum berdakwah dan sentiasa lirikkan senyuman di wajah.” jelasnya dalam memperkatakan tentang peraturan umum dakwah.

Dr. Abd Rahman menegaskan bahawa dakwah bukan sekadar bercakap, sebaliknya dengan turut menjadi contoh ikutan dan membantu yang lain.

Menyentuh isu kebebasan pula, beliau berkata, “Kebebasan bagi orang Islam dan orang bukan Islam adalah berbeza.

“Bagi orang bukan Islam, mereka dibenarkan untuk membuat apa sahaja, asalkan tidak mengganggu orang lain. Namun, bagi orang Islam, perbuatan yang dibolehkan perlulah halal di sisi Islam.”

Disediakan oleh:
Siti Farhana Fathy,
Wartawan Media ISMA

1 Komen untuk entri “Ajak orang kepada Islam bukti kebanggaan pada agama”

  1. [...] selanjutnya di ISMA Pusat CommentsPowered by Facebook Comments [...]