Usah belakangkan sensitiviti keagamaan demi kepentingan politik
KUALA KANGSAR, 18 Disember – Umat Islam digesa supaya sentiasa menjaga sensitiviti keimanan dan jangan sekali-kali bacul membelakangkan sensitiviti keagamaan semata-mata untuk kepentingan politik.
Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata demikian semasa menyampaikan pidato di Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di sini semalam.
Menurut beliau, kedudukan Islam hari ini semakin dicabar dan pertembungan budaya sedang berlaku dengan sengit dalam usaha musuh-musuh Islam merobek keperibadian dan jati diri umat Islam di Malaysia.
Namun katanya, masih ramai yang gagal melihat situasi ini adalah sebahagian daripada perancangan rapi musuh-musuh Islam dan hanya menganggap apa yang berlaku adalah kisah-kisah terpencil yang bersifat individu.
Ustaz Abdullah Zaik mengingatkan hadirin pesanan Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 120 bahawa orang Nasrani dan Yahudi tidak akan redha dengan orang Islam sehingga orang Islam mengikut jejak langkah mereka.
HIMPUN Peringkat Negeri Perak ini telah dihadiri oleh kira-kira 3000 orang yang datang memberi sokongan dalam perjuangan membanteras usaha memurtadkan umat Islam di Malaysia.
Selain Ustaz Abdullah Zaik, turut menyampaikan pidato ialah kedua-dua Pengerusi Bersama HIMPUN, Dr. Yusri Mohamad dan Tuan Haji Azmi Abdul Hamid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan Timbalan Mufti Negeri Perak, Ustaz Zamri Hashim.



[...] : ISMA Pusat CommentsPowered by Facebook Comments [...]
[...] sumber : http://www.ismaweb.net/v4/2011/12/usah-belakangkan-sensitiviti-keagamaan-demi-kepentingan-politik/ [...]