Umat perlu sepakat hadapi serangan barat
MANCHESTER – Umat Islam di Malaysia terutamanya orang Melayu yang merupakan kelompok majoriti perlu bersepakat dalam isu-isu tertentu dalam menghadapi serangan barat dan menjamin kedaulatan Islam di negara ini, tegas Ustaz Sarip Adul, Yang Dipertua ISMA Kota Kinabalu.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah bertajuk ‘Bidak-bidak di Papan Catur’ di sini baru-baru ini yang bertemakan serangan barat ke atas umat Islam khususnya di Malaysia dan mendedahkan hakikat yang berlaku serta memberi cadangan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.
Ustaz Sarip juga mengingatkan mereka yang hadir bahawa mahasiswa di luar negara mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memajukan negara kelak.
Program ini dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Manchester dengan kerjasama oleh Malaysian Community of Old Trafford (MCOT), dan telah dihadiri oleh mahasiswa-mahasiswa yang menuntut di sekitar Manchester.
Menurut Mohd Zol Helmi Md Zuki yang merupakan Ketua ISMA Manchester, menyedari akan hakikat dan senario yang berlaku dalam kalangan umat Islam di Malaysia kini, ISMA Manchester beranggapan bahawa perlunya pendedahan dan juga kesedaran dalam kalangan mahasiswa luar negara.
“Kita percaya bahawa generasi muda perlu mempunyai kesedaran akan hakikat serangan yang berlaku ke atas umat Islam sekarang, terutamanya serangan terhadap pemikiran umat Islam,” ujarnya.
Sumber: Laman Web ISMA Eropah


