Perjuangan Melayu perlu cakupi seluruh aspek pembangunan bangsa terhormat
BANGI - Agenda perjuangan memartabatkan bangsa Melayu perlu dilihat lebih luas dari semata-mata aspek ekonomi, sebaliknya mesti mencakupi seluruh aspek pembangunan sebuah bangsa yang terhormat dan gemilang, termasuk dari segi penghayatan agama yang memberi mereka gagasan dan wawasan, budaya yang tinggi, nilai hidup dan neraca, bahasa dan produk intelektual.
Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini bahawa agenda mempertahankan bangsa Melayu akan terus menjadi teras perjuangan UMNO.
Menurut beliau, kenyataan itu merupakan satu penegasan yang diperlukan di waktu rata-rata masyarakat Melayu tertanya-tanya adakah UMNO akan meninggalkan perjuangan asal mereka untuk membela bangsa Melayu.
Ustaz Abdullah Zaik juga menolak anggapan bahawa kenyataan tersebut adalah rasis kerana hakikatnya semua bangsa di dunia memperjuangkan hak dan menuntut kepentingan mereka masing-masing, termasuk di Malaysia.
Beliau berkata, memperjuangkan agenda bangsa tidak menjadikan satu-satu kumpulan itu dianggap rasis, oleh itu tiada sensitiviti atau masalah jika bangsa Melayu memperjuangkan agenda mereka juga dalam konteks pembinaan sebuah negara bangsa di Malaysia.
“Tak adil bila orang Melayu dianggap rasis kerana memperjuangkan agenda dan kepentingan mereka, sedangkan bila orang lain memperjuangkan hak bangsa mereka seperti bahasa, ekonomi, hak politik dan segala yang bersangkut dengan kepentingan mereka, kita anggap biasa.”
Ustaz Abdullah Zaik juga menyeru UMNO bersikap sungguh-sungguh dalam membaiki imej mereka supaya dilihat lebih amanah dan jujur dalam memperjuangkan agenda bangsa, di mana mereka perlu benar-benar dilihat memperjuangkan bangsa Melayu secara keseluruhan, bukan hanya melibatkan orang-orang yang berpentingan atau segolongan kecil kelompok Melayu sahaja.
Menurutnya, sifat inklusif yang pernah dinyatakan oleh Presiden UMNO bukan sahaja perlu diamalkan kepada orang bukan Melayu, tetapi kepada orang Melayu yang bukan dari kalangan UMNO.
“Bukan mereka yang bersangkut paut dengan UMNO sahaja diberi kedudukan dan tempat, tetapi semua orang Melayu tak kira latar belakang harus menerima layanan sama rata sebagai satu bangsa Melayu.”


[...] : ISMA Pusat CommentsPowered by Facebook Comments [...]