Pergaulan bebas remaja petanda lemahnya kefahaman beragama
KOTA KINABALU – Salah satu aspek paling kritikal yang menunjukkan lemahnya kefahaman beragama di kalangan remaja muslim kini ialah aspek pergaulan bebas di mana fenomena bercouple seolah-olah menjadi kebiasaan bagi para remaja hari ini, kata Ustaz Sarip bin Adul, Yang Di-Pertua ISMA Kota Kinabalu.
“Fenomena ini telah menjadi wabak hingga mengundang pelbagai gejala sosial seperti zina, buang bayi dan sebagainya, malah diburukkan lagi oleh penyalahgunaan kemudahan alat-alat komunikasi moden seperti handphone, facebook, twitter, email, chat room dan lain-lain lagi.”
Justeru itu katanya, ISMA sebagai salah satu NGO Islam di Sabah turut terpanggil untuk menyumbang dalam memikirkan cara terbaik mengatasi masalah yang menimpa golongan remaja dan belia ini, serta merasakan perlunya mereka diberi kefahaman tentang cabaran-cabaran yang bakal mereka hadapi di tengah-tengah dunia serba moden hari ini.
Ustaz Sarip berkata demikian ketika dihubungi selepas menjadi salah seorang panelis forum “Bila Baju Kurung Bertemu Baju Melayu” dalam program Kafe Cinta anjuran ISMA Kota Kinabalu dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam dan Masjid (UHEIM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini baru-baru ini.
Turut dijemput sebagai panelis forum ini ialah novelis yang tidak asing lagi iaitu Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Issraq Haji Ramli, Ketua Unit UHEIM UMS.
Menurut Ustaz Sarip, tajuk sebegitu sengaja dipilih untuk menarik minat pelajar-pelajar sekolah dan IPT menyertainya kerana berdasarkan pengalaman beliau, masyarakat di situ kurang berminat dengan perbincangan yang terlalu berbentuk ilmiah.
“ISMA mengharapkan program ini dapat memberi input berguna kepada peserta-peserta yang hadir dalam bentuk pengetahuan, pengalaman, perancangan dan pelaksanaan,” tambah beliau.
Program yang dihadiri lebih 500 orang peserta itu turut diisi dengan penyampaian ceramah bertajuk “Lautan Api Sanggup Ku Renangi” oleh Dr. Mohd Hatta Tarmizi, Naib Yang Di-Pertua ISMA Kota Kinabalu.



[...] : ISMA Pusat CommentsPowered by Facebook Comments [...]