|

Penyelesaian masalah umat bermula dengan bangunkan jati diri

KUALA LUMPUR - Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melihat permasalahan umat Islam secara keseluruhan daripada pelbagai aspek dan meyakini bahawa penyelesaian kepada masalah ini mesti dimulakan dengan pembangunan jati diri dan keperibadian individu, kata Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Menurutnya, terdapat keruntuhan yang amat besar pada keperibadian muslim hari ini khususnya di kalangan orang Melayu di mana keperibadian yang ada tidak mampu memainkan peranan yang sepatutnya dalam pelbagai bidang kehidupan.

Beliau menyatakan bahawa fenomena kelemahan umat kini begitu ketara dan melata berdasarkan kajian-kajian, pendedahan media dan perbincangan akademik yang telah dibuat.

Ustaz Abdullah Zaik berkata demikian semasa menjadi tetamu untuk rancangan Ala Carte Pagi yang disiarkan di Radio Bernama 24 baru-baru ini.

Beliau memperkenalkan ISMA sebagai salah satu NGO dakwah yang bersama-sama bergerak dan menyumbang ke arah pembangunan masyarakat ke arah yang lebih baik.

Badan-badan lain mungkin melihat dari aspek politik, ekonomi dan ilmu, tetapi ISMA meletakkan fokus pada aspek pembangunan keperibadian dan jati diri kerana ISMA berpendapat masalah yang melanda masyarakat dewasa ini berpunca daripada kelemahan keperibadian atau kecelaruan identiti.

1 Komen untuk entri “Penyelesaian masalah umat bermula dengan bangunkan jati diri”

  1. [...] : ISMA Pusat CommentsPowered by Facebook Comments [...]